Cari @ Amanz


Lenovo Legion Y70 akhirnya dilancarkan secara rasmi di China. Pengenalannya menjadi model kemas kini untuk Lenovo Legion Y90 sebelum ini dengan tumpuan yang sama iaitu sebuah telefon pintar berasaskan permainan mudah alih (permua).

Untuk spesifikasi, Lenovo Legion Y70 dilengkapi skrin 6.67-inci FHD+ dengan kadar segar semula 144Hz. Skrin turut menyokong beberapa ciri tambahan lain seperti HDR10+, Dolby Vision dan kecerahan puncak mencapai 1000nits. Kesemua ini dimuatkan dalam sebuah peranti dengan tubuh berkotak diperbuat daripada bahan aluminium dan bingkai logam.

Ia kemudiannya dipadankan dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1, memori sehingga 12GB RAM, storan dalaman mencapai 512GB. dan bateri 5,100mAh yang menyokong pengecasan pantas 68W. Turut melengkapi telefon pintar ini sistem penyejukan besar dengan mekanisme 10 lapisan untuk pengaliran haba yang baik.

Sistem tri-kamera turut digunakan dengan tetapan 50MP + 13MP + 2MP dan kamera swafoto sebesar 16MP. Tidak ketinggalan, ia juga menjalankan pelancar ZUI 14 berasaskan Android 12. Untuk harga, Lenovo Legion Y70 dijual di China serendah RMB2970 (~RM1,952) (8GB/128GB), RMB3370 (~RM2215) (12GB/256GB) dan RMB4270 (~RM2807) (12GB/512GB).

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd