Tahun lepas, Dell telah melancarkan sebuah kamera web dalam bentuk seakan silinder dengan kualiti setanding DSLR pada resolusi 4K iaitu Dell UltraSharp Webcam. Ia dijual pada harga mencapai lebih RM1000 hanya untuk sebuah kamera web.
Baru-baru ini, mereka melancarkan satu lagi kamera web dengan rekaan lebih kurang sama iaitu Dell Pro Webcam. Kali ini ia ditawarkan pada harga lebih murah berbanding kamera web sebelum ini.
Dell Pro Webcam hanya menyokong rakaman QHD 2560 x 1440 pada kadar 30 fps atau 24 fps. Mereka menggunakan sensor Sony STARVIS yang turut menyokong rakaman 1080p 60 fps dan 720p HD. Kamera ini turut mempunyai ciri autofokus dengan bukaan lensa f/2.0 dan menyokong zum digital 4x. Ia juga boleh menjejak pengguna untuk memastikan akan sentiasa berada dalam bingkai dan fokus.
Untuk sudut pandangan ia tidak selebar UltraSharp, tetapi hanya 65 dan 78 darjah sahaja. Dell turut mempunyai sistem tersendiri untuk mengurangkan hingar, mengaktifkan rakaman HDR, mengoptimasikan kualiti pada suasana kurang cahaya dan boleh mengubah lagi tetapan kamera melalui perisian Dell Peripheral Manager.
Dell Pro Webcam turut mempunyai mikrofon dengan sistem pengurangan hingar untuk audio berkualiti. Kamera web ini turut diiktiraf untuk digunakan bersama Zoom dan Microsoft Teams. Sayang sekali untuk sambungan ia hanya menyokong USB-A dengan kabel 1.5 meter yang terbina. Dell Malaysia menjual kamera ini pada harga RM724, iaitu RM427 lebih murah berbanding Dell UltraSharp Webcam.