Cari @ Amanz

YouTube Shorts nampaknya membuktikan yang format video menegak amat popular. Beberapa bulan lalu, Google mendedahkan yang YouTube Shorts mereka yang masih baru sudah mencapai lebih 1.5 bilion penonton aktif setiap bulan.

Google turut terus fokus dengan kandungan video menegak dengan menyertakan ciri mengubah video biasa ke Shorts. Mereka juga pernah menegaskan pencipta kandungan untuk hadir dengan kandungan asli berbanding terbit semula video daripada platform lain.

Terkini, YouTube akan menyertakan tera air pada video Shorts jika pencipta kandungan memuat turunnya untuk dikongsi ke platform lain. Menurut mereka, ini adalah untuk pengikut dan penonton tahu yang video ini turut boleh ditonton di YouTube Shorts dan bukan eksklusif di platform pesaing seperti TikTok.

Tetapi tera air ini hanya akan muncul jika video dimuat turun sahaja, tidak seperti TikTok yang sentiasa memaparkan tera air tidak kira pada platform mereka atau ketika dimuat turun.

Buat masa ini, ciri ini akan diberikan kepada pencipta kandungan menerusi YouTube di desktop dan akan dikembangkan ke peranti mudah alih dalam minggu-minggu akan datang.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd