Setiap satu daripada siri peranti Huawei mempunyai fokus tersendiri. Misalnya seperti Huawei Mate yang memfokuskan terhadap keupayaan peranti yang menyeluruh termasuklah sistem kamera canggih. Seperti yang diketahui ramai, Huawei Mate 50 merupakan model terkini di bawah siri berkenaan dan ura-ura mengenainya sudah kedengaran sejak beberapa bulan yang lalu.

Enggan terus berteka-teki, tarikh pelancaran untuk peranti ini telah dikongsi menerusi kemas kini baharu di Weibo sebentar tadi. Huawei dilihat telah menjadualkan pelancaran untuk peranti ini pada 6 September 2022 tetapi masih berteka-teki mengenai bilangan variasi model yang bakal tersedia. Bagaimanapun menurut jangkaan awal, ia sekurang-kurangnya terdiri dengan empat model berbeza yang merangkumi Mate 50, Mate 50 Pro, Mate 50E dan Mate 50RS.
Pada masa sama, Huawei juga dijangka menyertakan penjenamaan pengimejan tersendiri XMAGE untuk kemampuan fotografinya pada siri Mate kali ini. Kemudian, penambahbaikan pada perkakasan dalaman juga dipercayai akan dilakukan. Dengan perkongsian ini, kita boleh menyasarkan lebih banyak maklumat berkaitan peranti akan dikongsikan dalam masa terdekat ini.