Tidak semua orang mampu memiliki sebuah iPhone. Disebabkan itu, banyak pengeluar peranti Android cuba hadir dengan alternatif dengan menawarkan peranti mereka yang mempunyai ciri dan fungsi seakan sebuah iPhone.
Tetapi turut terdapat di gedung aplikasi Google Play Store, beberapa pelancar peranti Android yang menggunakan tema iOS. Ada yang cuba mimik seperti iPhone sebenar, ada yang memfokuskan pada ikon dan ada juga yang sekadar rupa sahaja. Terbaru di Play Store adalah Launcher iOS 16 oleh LuuTinh Developer.
Menariknya, pelancar ini dilihat digemari oleh ramai pengguna Android dengan sudah pun mencapai lebih 50 juta muat turun sejak ia mula diperkenalkan. Pelancar ini dikemaskini mengikut setiap kali iOS baharu diperkenalkan.
Pelancar ini cuba mimik apa yang Apple tawarkan pada iPhone dalam iOS 16. Pelancar ini menawarkan skrin utama, dock, ciri menu tekan dan tahan, talam aplikasi, widget dan banyak lagi mirip iOS 16. Ia juga mengubah ikon-ikon aplikasi SMS, kamera, nota ke versi iOS dan turut mengubah ikon Play Store kepada App Store.
Pelancar ini turut mempunyai “ekosistem” tersendiri, agar boleh digunakan bersama aplikasi lain yang dibangunkan oleh pembangun sama seperti Control Center iOS 15 yang memberi akses pantas ke tetapan seperti dalam iPhone.