Shopee adalah antara platform e-dagang yang paling popular sekarang. Walaupun ramai pengguna marah kepada mereka kerana masalah penghantaran dan sebagainya, penawaran yang mereka hadir untuk pengguna masih menarik perhatian ramai.
Dalam aplikasi Shopee terdapat banyak ciri dan fungsi diberikan kepada pengguna, termasuk pembeli dan penjual. Antaranya adalah ciri Shopee Feed untuk menyiarkan promosi seperti pada platform media sosial, Shopee Live untuk kandungan siaran langsung, ShopeeFood untuk membeli makanan dan banyak lagi.

Dalam satu notifikasi kepada penjual, Shopee memberitahu semua yang ciri Shopee Feed akan dihentikan bermula 31 Ogos akan datang. Ikon Shopee Feed pada aplikasi di bahagian bawah akan digantikan dengan Shopee Live. Menurut Shopee, ciri ini akan dihentikan agar penjual memanfaatkan ciri siaran langsung yang sedia ditawarkan.
Mereka turut berjanji untuk terus mengoptimasikan platform mereka untuk menawarkan lebih banyak ciri dan fungsi untuk memudahkan lagi penjual mempromosikan produk masing-masing. Penjual tidak lagi boleh menggunakan Shopee Feed bermula 30 Ogos dan semua kandungan Feed akan terus dipadam daripada aplikasi pada tarikh yang dinyatakan.