Astro sudah pun ke arah penstriman, berbanding sebelum ini yang masih menggunakan sistem satelit. Kotak TV Astro kini memerlukan sambungan Internet untuk berfungsi, seperti kotak TV lain. Sistem operasi pada kotak TV mereka juga menggunakan antaramuka yang lebih mudah digunakan berbanding sistem Astro yang lalu.
Tetapi, ia masih belum sempurna dan ada banyak kekurangan sehinggalah hari ini. Kotak TV Astro Ultra Box dan Astro Ulti Box telah pun dikemaskini dengan sokongan mencipta lima profil berbeza. Setiap profil ini boleh mempunyai cadangan kandungan berbeza mengikut pengguna berdasarkan corak penggunaan dan minat masing-masing.
Selain itu, Astro turut menambah senarai Continue Watching untuk pengguna sambung tonton kandungan yang tidak habis ditonton. Tiada lagi masalah perlu tonton dari awal atau perlu cepatkan ke hadapan untuk sambung tonton. Tambahan itu, pengguna turut boleh mencipta senarai ingin tonton dan menandakan kandungan kegemaran untuk tonton di kemudian hari.
Astro turut menyertakan ciri seakan Netflix, seperti memaparkan imej kenit ketika mempercepatkan video serta sistem carian yang lebih bagus agar kandungan lebih mudah dicari. Bercakap mengenai Netflix, kandungan yang dipaparkan pada skrin utama Astro kini boleh terus melancarkan aplikasi Netflix apabila ditekan.
Untuk pengguna yang mempunyai anak kecil di rumah, Astro turut memperkenalkan profil untuk kanak-kanak yang akan mencadangkan kandungan mesra dengan mereka seperti animasi tempatan. Ciri-ciri ini turut akan ditawarkan kepada pengguna Astro Go untuk lebih mudah digunakan dan selari dengan kotak TV.
Kemaskini ini dikatakan diedarkan kepada semua pengguna secara berperingkat dan tidak semua akan dapat menggunakannya secara serentak. Nantikan kemaskini pada kotak TV Astro anda dan juga kemaskini aplikasi Astro Go.