Samsung Galaxy A04s Tertiris Dengan Skrin 90Hz Dan Kamera 50MP

Diterbitkan pada Ogos 23, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Versi kemas kini untuk Samsung Galaxy A03s dijangka tiba tidak lama lagi. Ia berikutan tertirisnya maklumat mengenai kewujudan Samsung Galaxy A04s melalui perkongsian terkini winfuture. Ia bukan sahaja memperlihatkan reka bentuk, malahan perkakasan dalaman peranti turut dikongsi. Sungguhpun sekadar peranti kelas permulaan, ia dikhabarkan dilengkapi beberapa penambahbaikan seperti kamera utama 50MP dan kadar segar semula 90Hz.

Mengulas dengan lebih lanjut, peranti akan menggunakan skrin IPS LCD yang menyokong resolusi HD+ dan kadar segar semula 90Hz sebesar 6.5-inci. Cip Exynos 850 turut digunakan sebagai tunjang utama peranti, di samping padanan memori 3GB RAM dan storan dalaman 32GB. Sebagai tambahan, ia turut menawarkan ruang tambahan mencapai 1TB yang boleh dikembangkan menerusi kad microSD.

Kamera utama pula menawarkan sensor 50MP + 2MP (kedalaman) + 2MP (makro) dan kamera hadapan pula 5MP. Bateri 5,000mAh yang disertakan menyokong sistem pengecasan 15W melalui port USB-C. Lain-lain spesifikasi termasuklah sambungan bicu audio 3.5mm, menjalankan Samsung One UI berasaskan Android 12, NFC dan dwi-band Wi-Fi.

Tiada tarikh pelancaran rasmi yang didedahkan setakat ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami