Cari @ Amanz

Peranti boleh-pakai Realme di Malaysia turut dikemaskini dengan produk baharu. Melaluinya, Realme Watch 3 telah dilancarkan secara rasminya dengan harga jualan RM259 seutas. Menariknya, ia turut boleh didapati dengan harga promosi serendah RM199 untuk tempoh masa terhad di antara tarikh 23 – 25 Ogos 2022 yang disediakan secara eksklusif menerusi Shopee.

Realme Watch 3 dikemaskini dengan paparan dan nisbah skrin-ke-badan yang lebih besar. Melaluinya, ia menggunakan skrin berkotak yang melengkung sebesar 1.8-inci dengan padanan tali silikon. Tubuh pula diperbuat daripada bahan polikarbonat yang disadur dengan logam. Kemampuan melakukan panggilan telefon menerusi jam juga diberikan kerana ia dilengkapi speaker dan mikrofon.

Seterusnya, lebih 100 pilihan muka jam ditawarkan tetapi ia bakal ditawarkan secara berperingkat. Pelbagai ciri penjejakan kesihatan dan kecergasan turut disertakan. Ini termasuklah mengesan nadi, VOX2 Max, SpO2, pemantauan pola tidur dan pilihan sehingga 110 mod sukan terbina. Bateri yang digunakan mampu beroperasi sehingga 7 hari dan ia turut melepasi tahap piawaian kalis air IP68 tetapi tidak sesuai untuk dibawa berenang atau mandi.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd