Cari @ Amanz

Tidak dapat dinafikan, kecanggihan dunia teknologi hari ini sememangnya memberikan banyak manfaat kepada kehidupan seharian kita. Tetapi dalam setiap kebaikan, pasti ada juga keburukannya di mana satu jenayah telah diwujudkan yang kini diklasifikasikan sebagai jenayah siber.

Antara jenayah siber yang tidak lagi asing hari ini adalah penipuan yang melibatkan perbankan. Bayangkan kesemua wang simpanan yang bertahun-tahun kita simpan lenyap dalam sekelip mata? Itulah yang akan berlaku jika anda tidak berhati-hati dalam melakukan sebarang transaksi atau perkongsian maklumat. Jadi ini adalah tanda-tanda yang anda perlu tahu untuk mengesan jika anda terlibat dengan jenayah siber perbankan.

1. Menerima Kod Pengesahan OTP Walaupun Tidak Diminta

Cara asas yang terbaik untuk mengelakkan diri kita daripada terjebak menjadi mangsa scammer ini adalah dengan tidak kongsi kod OTP kepada sesiapa sahaja, sama ada orang yang anda kenali ataupun tidak. Ini kerana kod OTP sepatutnya hanya digunakan untuk keperluan peribadi sahaja. Oleh itu, jangan sesekali menekan pautan yang anda rasa ia mencurigakan. Jika tidak pasti, semak atau hubungi sahaja pihak bank untuk membuat pengesahan.

Sesiapa sahaja yang meminta kod OTP daripada anda, sama ada yang mengaku daripada pihak berkuasa, kawan, ahli keluarga atau juga seseorang yang dahulunya menggunakan nombor telefon anda meminta OTP yang dihantar kepada anda, sebaik-baiknya abaikan sahaja. Jika perkara ini pernah berlaku pada anda secara tidak sengaja, seeloknya anda menyemak kembali transaksi akaun perbankan anda dan menukar kata laluan. Anda juga boleh hubungi pihak bank jika terdapat transaksi yang aneh di akaun anda.

Ini kerana, dengan kod OTP ini para scammer boleh mengakses akaun bank anda dan membuat perubahan kepadanya seperti menukar kata laluan. Perkara ini seterusnya akan membuatkan anda hilang akses kepada akaun bank anda sendiri dan wang simpanan akan dipindahkan tanpa pengetahuan anda.

2. Menerima Emel Atau SMS Yang Aneh

Pernahkah anda menerima emel atau mesej-mesej aneh daripada individu yang tidak dikenali? Kami yakin, ramai di antara kita semua pernah menerimanya. Malah, ia menjadi kebiasaan hari ini dimana setiap hari akan ada yang menawarkan pekerjaan dengan gaji lumayan menerusi SMS, bukan? Kadang kala ia bukan sekadar SMS sahaja, ada juga yang menerima emel dengan mesej yang aneh di dalamnya. Inilah antara taktik-taktik penipuan yang semakin berlelusa hari ini untuk memancing maklumat peribadi anda.

Ia merupakan salah satu teknik pancingan data (phishing), dimana kebiasaannya mesej yang disampaikan seolah-olah daripada organisasi yang dikenali. Ada juga yang meminta anda untuk memuat turun fail-fail APK daripada sumber yang tidak sahih daripada luar gudang aplikasi (Sideload Apps) untuk membuat pemasangan (install). Ini sering terjadi kepada pengguna peranti Android.

Jika anda klik pada pautan atau membuat pemasangan ini, anda akan diminta untuk berkongsi maklumat peribadi seperti nombor kad kredit, nombor akaun, kata laluan dan sebagainya. Jadi, apabila anda mengisi maklumat peribadi melalui laman web palsu berkenaan, scammer boleh mendapatkan akses ke akaun perbankan anda dengan mudah.

Bahkan, pautan yang disertakan di dalam SMS atau emel itu juga menampakannya seolah-olah daripada organisasi yang sah tetapi sebenarnya palsu. Namun, ada caranya untuk mengesan sama ada ia merupakan mesej yang sebenar ataupun penipuan untuk pancingan data.

Ciri-Ciri Mesej Untuk Pancingan Data

Pertama sekali, mesej yang dihantar adalah daripada nombor peribadi atau emel yang menggunakan domain awam yang biasa kita dengar seperti @gmail, @yahoo dan sebagainya. Jika ia dihantar daripada organisasi yang sah seperti bank sebenar, ia akan menggunakan nombor telefon pejabat bank yang sah dan pautan rasmi mereka. Seperti gambar di atas, dengan emel dan logo yang dipaparkan ia kelihatan seperti satu emel yang sah daripada pihak Instagram untuk memberikan akaun verified, tetapi apabila anda klik pada pautan yang disediakan, ia akan mendedahkan pengguna kepada potensi ketirisan data.

Selain itu, anda haruslah menyemak pautan yang dikongsikan dengan teliti kerana ada juga scammer yang licik dimana mereka hanya mengubah sesuatu huruf sahaja yang mengundang kekeliruan kita. Contohnya, anda menerima emel daripada [email protected] dan bukannya [email protected].

Mesej yang dihantar juga kadang-kala mempunyai kesalahan ayat dimana ia berkemungkinan menggunakan aplikasi penterjemahan untuk menulisnya. Namun hari ini, ramai juga scammer yang boleh menghantar emel yang meyakinkan mangsa untuk membuat tindakan seterusnya.

Sebagai contoh, kandungannya seolah-olah mendesak anda untuk membuat sesuatu tindakan dalam tempoh masa yang singkat dan mengugut anda jika gagal melaksanakannya. Antaranya seperti meminta anda untuk membuat pembayaran dengan cepat dan jika gagal melakukannya, peranti anda akan diserang virus dan hilang fail-fail penting.

Ada juga yang menghantar emel dengan pautan yang kelihatan seolah-olah daripada organisasi yang sebenar. Mereka menggunakan templat yang sama dengan syarikat perbankan seperti logo, antaramuka dan sebagainya. Tetapi sebenarnya apabila kita klik dan menuju ke halaman yang diberikan, kita dibawa ke halaman yang palsu.

Apa Yang Anda Perlu Lakukan Jika Menjadi Mangsa Scam?

Jika anda adalah salah seorang daripada mangsa scam, anda perlulah menghubungi bank anda dengan segera melalui talian 24 jam mereka dan membuat laporan tentang pindahan wang secara haram ini. Anda juga perlu meminta pihak bank untuk menyah-aktifkan kad dan membekukan akaun perbankan untuk satu tempoh masa. Selepas menerima mengemaskini log masuk yang baharu, anda perlu menukarkan kata laluan yang baharu secepat yang mungkin.

Selain itu, anda juga dinasihatkan agar menyimpan semua rekod transaksi yang telah dibuat, serta butiran orang atau organisasi yang terlibat dengan transaksi anda. Maklumat ini mungkin berguna jika anda ingin mengambil tindakan dan membantu siasatan polis.

Kesimpulan

Penipuan yang melibatkan perbankan ini adalah salah satu teknik pancingan data yang semakin berleluasa di Malaysia. Pelbagai cara yang digunakan oleh para scammer untuk dapatkan maklumat peribadi perbankan kita. Kadang-kala kita sendiri juga susah untuk kenal pasti sama ada ia adalah daripada organisasi yang sah atau pun tidak.

Oleh itu, anda dinasihat untuk sentiasa peka jika menerima sebarang emel atau SMS daripada pihak yang tidak dikenali. Janganlah berkongsi maklumat peribadi anda seperti nombor kad, ID pengguna, nombor pin perbankan anda dan juga kod OTP kepada sesiapa pun. Sentiasa berwaspada dan semak dahulu segala pautan yang diberi sebelum anda klik dan masukkan maklumat peribadi anda.

Tetapi, sekiranya wang anda telahpun hilang dek kerana jenayah penipuan yang melibatkan perbankan ini, jangan lengahkannya lagi dan terus hubungi bank anda atau organisasi yang bertanggungjawab dengan segera. Jadikan insiden ini sebagai pengajaran dan janganlah sesekali klik pada pautan yang mencurigakan serta berkongsi maklumat peribadi anda kepada orang lain. Apa-apa pun, jika anda berasa tidak pasti tentang sesuatu, hubungi sahaja bank anda untuk maklumat lanjut.

Penafian : Pesanan Khidmat Masyarakat Ini Dibawakan Oleh CIMB

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd