Siri Acer Vero dilancarkan tahun lalu dengan kerangka komputer riba Windows tersebut diperbuat daripada bahan plastik yang dikitar semula. Dengan ini Acer berharap mereka akan mengurangkan sampah plastik dari mencemari dunia dan bekas bungkusannya juga diperbuat daripada bahan kitar semula.

Hari ini mereka melancarkan pula Acer Chromebook Vero 514, dengan kerangka, papan kekunci, speaker dan kipas penyejuk diperbuat daripada plastik kitar semula. Selain itu pad sesentuh pula dilengkapi panel kaca OceanGlass yang diperbuat pula dari kaca yang dikitar semula.
Secara keseluruhan 30% komponen Chromebook ini dan 90% bungkusan diperbuat daripada bahan kitar semula. Lebih menarik ialah komputer riba ini melepasi piawaian ketenteraan MIL-STD 810H yang membolehkan ia tahan hentakan apabila terjatuh dari ketinggian sehingga 48 inci.

Vero 514 dilengkapi skrin sesentuh 14″ FHD, dijana cip sehingga Intel Core i7 Gen-12, grafik Intel Iris Xe, memori sehingga 16GB LPDDR4x, dan storan SSD sehingga 512GB M.2 PCIe Gen4x4 NVMe. Pilihan I/O pula ialah HDMI 2.0, 2x USB-C, USB-A 3.2 dan bicu audio 3.5mm. Harga jualan Acer Chromebook Vero 514 bermula dari $499.99 (~RM2243) sebuah.
- Sumber
- Sumber – Acer