Cari @ Amanz

LG PuriCare adalah produk penapis udara LG yang cukup popular. Semasa acara CES tahun ini, LG telah memperkenalkan PuriCare AeroTower iaitu penapis udara dengan rekaan unik yang juga merupakan perabot untuk menghias rumah.

Terkini, LG telah hadir membawa PuriCare dalam siri perabot Aero mereka –  LG Aero Furniture. Penapis udara ini menggunakan penapis LG Ultra-fine dengan sokongan penapisan pelbagai tahap. Ia turut menggunakan LG UVnano untuk membersihkan udara dan bilah yang digunakan pada kipas turut boleh membuang bakteria dan virus sebanyak 99.99%.

Keunikan LG Aero ini adalah ia bukan sekadar penapis udara, tetapi juga merupakan meja kecil untuk meletakkan pelbagai barangan atau hiasan serta mempunyai lampu terbina. Bahagian atas meja bebas dipilih pengguna untuk bentuk bulat atau bujur dan di bawahnya mempunyai kawalan untuk hidup/matikan, ubah aliran udara dan suis lampu.

Terdapat lapan warna lampu berbeza yang boleh dipilih dan kesemunya turut boleh dikawal melalui aplikasi LG ThinQ. Pada permukaan meja, turut disediakan adalah pengecas nirwayar untuk mengecas peranti pengguna dan indikasi LED untuk status WiFi, kualiti udara dan maklumat lain. LG menggunakan bahan binaan daripada plastik dan barangan elektronik terpakai untuk produk ini.

LG Aero Furniture hadir dengan pilihan warna Crème Rose, Crème Yellow dan Crème Grey. Ia akan diperlihatkan pada acara IFA 2022 bulan September akan datang.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd