Carian
Ulasan Samsung Galaxy Z Fold4 – Perubahan Kecil, Impak Besar
August 30, 2022 Effi Saharudin

Juara Formula 1 Sir Lewis Hamilton pernah berkata beliau memastikan berat badan tidak berubah sepanjang musim kerana penambahan berat badan sebanyak 1 kilogram akan menyebabkan beliau kehilangan 2 saat sepanjang perlumbaan. Dua saat bukan masa yang panjang tetapi membezakan tempat pertama dan kedua dalam perlumbaan Formula 1.

Samsung Galaxy Z Fold4 dilancarkan beberapa minggu lalu dengan beberapa perubahan yang jika dilihat dari luar tidaklah begitu ketara. Dalam pandang pertama kami untuk peranti ini, kami curiga sama da Fold4 mempunyai perubahan yang mencukupi untuk membuatkan pengguna memilihnya berbanding Fold3.

Selepas seminggu menggunakan Fold4, kami boleh katakan dengan muktamad bahawa perubahan kecil yang dilakukan oleh Samsung tahun ini membawakan impak yang cukup besar untuk mereka terus kekal sebagai kuasa besar pasaran peranti skrin boleh-lipat dunia.

Spesifikasi

Samsung Galaxy Z Fold4
SkrinLuar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz
Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+
PemprosesQualcomm Snapdragon 89 Gen 1 (4nm)
Cip1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Cip GrafikAdreno 730
RAM12GB LPDDR5
Muatan Dalaman256/512/1000 GB UFS 3.1
Kamera Utama50MP, f/1.8 Sudut Lebar, OIS
10MP, f/2,2 Telefoto, 3X Optikal, OIS
12MP, f/2.4 Ultra Sudut Lebar
Kamera SwafotoLuar – 10MP f/2.2
Dalam – 4MP f/1.8 UDC
Bateri4400 mAh
Pengecasan berwayar 25W
Pengecasan nirwayar 15W
Pengecasan berbalik 4.5W
SIM/TelefoniNano/5G
NFCYa
Bicu AudioTiada
Kalis AirIPX8
Sistem ImbasanPengimbas cap jari sisi
Harga JualanRM 6799 (12/256GB)
RM 7299 (12/512GB)
RM 8299 (12/1000GB)

Skrin

Kami katakan perubahan kecil yang dilakukan menghasilkan impak yang cukup besar tahun ini. Perubahan kecil pertama yang dilakukan ialah pada skrin luar yang kini 3 mm lebih lebar dan dipendekkan ketinggiannya.

Perubahan yang mungkin nampak kecil tetapi ia akhirnya membuatkan skrin luar Fold4 boleh digunakan untuk menaip yang merupakan isu kami sejak Fold pertama lagi. Dengan skrin lebih lebar keperluan untuk membuka skrin boleh-lipat sepanjang masa dipotong dengan banyak.

Skrin ini masih lagi sebesar 6.2″ Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi 904 x 2316 pixels, nisbah 23.1:9 dan 120Hz. Skrin luaran adalah terang dan boleh digunakan dengan baik di bawah cahaya mentari yang tegak di atas kepala. Seperti biasa teknologi skrin Samsung tidak mengecewakan. Warna yang dipaparkan juga cukup hidup lebih-lebih lagi dalam mod HDR10+.

Skrin dalaman masih lagi 7.6″ Dynamic AMOLED 2X dengan resolusi 1812 x 2176 pixel, 120Hz dan HDR10. Ia juga masih mempunyai kesan lipatan yang agak ketara. Penggunaan kamera bawah skrin UDC juga dikekalkan cuma tahun ini ia dapa disorokkan dengan lebih baik tetapi masih boleh dilihat pada sudut tertentu. Lapisan kaca UTG Samsung masih terasa seakan poliamida di bawah jari tetapi mereka mengatakan ia masih lagi tahan calar berbanding lapisan lain di pasaran.

Kesan lipatan masih lagi ketara tetapi kurang mengganggu apabila menonton kandungan video dan menggunakan aplikasi. Ia hanya nampak ketara apabila menggunakan latar belakang warna terang misalnya melayari laman web. Sebagai pengguna Fold3 dan Fold2, kami boleh katakan sudah terbiasa dengan kesan lipatan ini seperti pengguna iPhone boleh membiasakan diri dengan takuk skrin yang besar. Maka ia bukanlah isu yang besar. Tetapi harus diakui kewujudannya mengecewakan kerana pesaing mereka seperti Oppo, Xiaomi dan Vivo telah berjaya menghasilkan skrin yang tidak ketara kesan lipatannya.

Seperti skrin luaran, kualiti warna pada skrin boleh-lipat adalah amat memuaskan. Ia hanya kurang jelas digunakan di bawah cahaya matahari yang terang. Maka apabila di luar, kami lebih gemar menggunakan skrin luar sahaja kerana ia lebih terang. Peranti melepasi piawaian HDR10+ dan tiada isu memainkan kandungan Netflix, Disney+ Hotstar, Prime Video dan YouTube dalam mod HDR.

Perubahan telah dilakukan pada mekanisme engsel Fold4 dan oleh itu “tulang belakang” engsel yang digunakan tidak lagi terasa begitu ketara pada model tahun ini. Masih dapat dirasakan bonggol engsel apabila melakukan jari pada skrin tetapi kali ini ia tidak begitu ketara.

Proses membuka skrin juga terasa lebih lancar tahun ini. Amat berbeza dengan pengalaman seakan menutup dan membuka perangkap tikus yang kami alami pada Fold asal. Dengan mekanisme yang semakin lancar dan terasa lembut, penggunaan Fold4 terasa lebih semula jadi tanpa kami perlu berhati-hati setiap kali ia dibuka/ditutup.

Masih terdapat sokongan S Pen tetapi kami tidak pula diberikan sebuah stylus untuk diuji oleh Samsung Malaysia. Sokongan masih lagi sama seperti tahun lalu dengan S Pen for Fold dan S Pen Pro sahaja boleh digunakan bagi mengelakkan kerosakan pada skrin boleh lipat. Skrin luar masih tidak menyokong S Pen seperti tahun lalu.

Seperkara lagi S Pen tidak diberikan sebarang ciri baharu atau dipertingkatkan kemampuannya. Masih mengesan 4096 tahap tekanan, masih mempunyai butang kawalan sisi dan masih mempunyai masa pendam yang rendah. Kami difahamkan pengalaman penggunaan adalah mirip dengan yang boleh dialami pada S22 Ultra.

Ura-ura S Pen akan mempunyai tempat simpanan sendiri tidak berlaku sebaliknya sekali lagi ia diletakkan di luar dengan Samsung menawarkan kerangka khas dengan poket simpanan terletak di bahagian tulang belakang kerangka.

Rekaan

Rekaan tubuh semakin rata, semakin mengecil dan semakin ringan. Engsel kini beberapa milimeter lebih nipis dan mengecil. Apabila ditambah dengan bezel logam juga dikecilkan sekali, Fold4 kini sedikit lebih pendek dan sedikit lebih lebar. Ia juga kini hanya 263 gram bersamaan 8 gram lebih ringan berbanding Fold3 dan 23 gram lebih berat berbanding iPhone 13 Pro Max.

Perubahan dimensi peranti dalam keadaan terbuka adalah seperti di bawah.

  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 155.1 x 130.1 x 6.3 mm
  • Samsung Galax Z Fold3 – 158.2 x 128.1 x 6.4 mm

Kami ada mengatakan rekaan Oppo Find N adalah yang paling mesra pengguna setakat ini kerana skrin luar yang boleh digunakan sebelah tangan dan selesa untuk menaip. Seperti kami katakan di bahagian skrin di atas, pada Fold4 perkara yang sama kini boleh dilakukan dengan selesa juga kerana skrin luar yang lebih lebar. Tetapi jika kami ikhlas rekaan Find N adalah lebih selesa, kompak, ringan dan nisbah skrin luar yang lebih konvensional.

Tubuh masih lagi mempunyai bingkai logam tetapi kali ini semakin rata mengikut trend semasa. Kita dapat melihatnya pada siri Galaxy S dan Galaxy A sebelum ini. Kerana sisi yang rata peranti nampak lebih kemas, profesional dan lebih penting selesa di dalam tangan.

Butang kuasa (merangkap pengimbas cap jari) dan laras suara diletakkan di sisi kanan sayap kanan peranti. Manakala pada sisi kiri sayap kiri pula terdapat slot untuk talan SIM. Terdapat sokongan dwi-SIM fizikal bersaiz nano dan satu eSIM. Tetapi hanya dua SIM boleh diaktifkan serentak pada Fodl4 ini. Masih tiada sokongan kad mikro SD yang kini sudah pupus pada peranti mercu keluaran Samsung.

Di bahagian atas terdapat satu kekisi audio untuk sistem speaker stereo yang dipadankan dengan kekisi audio di bahagian bawah. Kedua-duanya mempunyai saiz yang sama untuk audio yang seimbang. Akhir sekali sebuah port pengecasan USB-C juga terletak di bahagian bawah.

Tidak perlu risau untuk menggunakan peranti di luar kerana ia masih lagi melepasi piawaian kalis air IPX8. Tiada kemampuan kali debu seperti siri Galaxy S kerana engsel mempunyai beberapa ruang yang terbuka. Maka berhati-hatilah apabila menggunakan Fold4 di kawasan berpasir seperti kawasan pantai misalnya.

Penggunaan Dan Perisian

Fold4 ialah telefon pintar pertama yang dilancarkan dengan Android 12L secara terpasang dengan ia dipadakan dengan pelancar One UI 4.1.1. Walaupun bukan sebuah sistem operasi baharu, Android 12L direka khusus untuk peranti skrin boleh-lipat dengan tumpuan diberikan kepada melancarkan penggunaan aplikasi serentak dan penggunaan Multi Window. Samsung turut menjanjikan sokongan kemas kini empat versi Android dan tampalan sekuriti selama lima tahun untuk Fold4.

Dapat dirasakan perbezaan pada kelancaran aplikasi kali ini apabila dibandingkan dengan Fold3 yang masih menggunakan Android 13 dan One UI 4.1. Aplikasi dilancarkan dengan lebih pantas khususnya dalam proses melakukan pertukaran aplikasi.

Dua perubahan kecil yang penting akan kami sentuh di sini. Pertama sekali ialah pengenalan Taskbar. Setiap kali aplikasi dibuka, Taskbar yang mirip dengan yang ditemukan pada komputer Windows dan macOS akan muncul di bahagian bawah skrin. Sehingga lapan aplikasi yang diletakkan pada palang bawah akan dikecilkan dan diletakkan di dalam Taskbar bersama dua aplikasi yang dibuka sebelum ini.

Proses menukar aplikasi adalah semudah menekan ikon dalam Taskbar. Penggunaan Fold4 dalam mod ini adalah sama seperti sebuah desktop dengan pertukaran aplikasi berlaku sekelip mata. Pada Fold3 kami menyedari terdapat sedikit lengah masa.

Sebelum ini Taskbar ada ditawarkan pada Fold3 tetapi diletakkan pada sisi kanan/kiri dengan meletakkan pin pada Edge Panel. Ini mengakibatkan Edge Panel tidak lagi boleh digunakan. Pada Fold4, Taskbar dan Edge Panel masih boleh diakses oleh pengguna apabila diperlukan.

Menggunakan Multi Window juga lebih mudah kerana pengguna hanya perlu melakukan tatalan dua jari dari sisi kiri atau bawah untuk membuka tingkap sekunder bagi melancarkan aplikasi kedua. Ciri ini serupa dengan yang diperkenalkan oleh Xiaomi pada Mi MIX Fold tahun lalu. Untuk menukar aplikasi pada tetingkap Multi Window juga semudah menarik ikon aplikasi dalam Taskbar ke tingkap yang diinginkan. Sehingga 3 aplikasi boleh digunakan dalam mod Multi Window.

Continuity Mode juga masih disertakan untuk aplikasi dibuka dari skrin depan ke skrin dalam atau berbalik. Flex pula membolehkan peranti digunakan dalam kedudukan huruf “L”. Pada aplikasi YouTube misalnya skrin atas memaparkan skrin video dan bawah pula ruangan komen. Ciri ini tidak disokong pada kesemua aplikasi pada waktu ini.

Secara keseluruhan perubahan yang dilakukan pada pemproses dan perisian membuatkan penggunaan Fold4 terasa amat lancar sekali jika dibandingkan dengan Fold3. Barulah terasa nikmat skrin 120Hz yang digunakan. Bagi mereka yang mencari telefon pintar dengan sistem multi tugas yang paling lancar serta pantas, Fold4 ialah peranti untuk anda kerana pada waktu ini tiada yang mampu menawarkan pengalaman yang serupa.

Penanda Aras

Cip Snapdragon 8+ Gen 1 dipadankan dengan 12GB RAM LPDDR5 dan storan sehingga 1TB UFS 3.1. Model yang diulas hadir dengan 12GB RAM dan storan 256GB. Memori boleh mencecah 20GB RAM menggunakan ciri RAM Plus yang menambahnya secara maya. Pengguna diberikan pilihan menambah 2, 4, 6 dan 8 GB RAM menerusi RAM Plus pada Fold4.

Spesifikasi yang tinggi meletakkan Fold4 dengan selesa dalam kelas peranti mercu premium di pasaran kerana berkongsi pemproses dengan ASUS ROG Phone 6 yang merupakan sebuah peranti gaming.

Apabila ujian penanda aras utama dilalukan pada peranti, markah yang dicatatkan adalah seperti di bawah. Bagi memudahkan perbandingan markah yang dicatatkan oleh Black Shark 5 Pro (Snapdragon 888), ROG Phone 6 (Snapdragon 8+ Gen 1) dan iPhone 13 Pro Max (Apple A15 Bionic) juga kami sertakan.

Geekbench 5

  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 1298/3963
  • ASUS ROG Phone 6 – 1312/4191
  • Apple iPhone 13 Pro Max – 1727/4713
  • Black Shark 5 Pro – 1202/3693

Antutu 3D

  • Samsung Galaxy Z Fold4 – 980,346
  • ASUS ROG Phone 6 – 1,099,5132 
  • Apple iPhone 13 Pro Max – 789,647
  • Black Shark 5 Pro – 1,018,939

Wild Life Extreme

  • Samsung Galaxy Z Fold4 2798
  • ASUS ROG Phone 6 2786
  • Apple iPhone 13 Pro Max 2937
  • Black Shark5 Pro 2604

Skor markah ujian Fold4 bukan yang tertinggi tahun ini tetapi ia beroperasi dengan lebih lancar berbanding 99% peranti lain di pasaran sekarang kerana perisian yang baik. Walaupun dipasarkan sebagai peranti produktiviti untuk golongan profesional, ia masih lagi boleh digunakan untuk sesi permua tahap tinggi seperti COD Mobile, Genshin Impact dan Diablo Immortal. Tiada isu untuk memainkan kesemua permua ini pada tetapan tinggi.

Peranti menjadi sedikit suam selepas beberapa pusingan atas talian COD Mobile misalnya tetapi tidak mencapai tahap melampau. Kerana ia bukan peranti gaming, tahap penyejukan masih tidak setanding yang ditawarkan Black Shark 5 Pro dan ROG Phone 6. Skrin besar menawarkan pengalaman permua yang sebaik tablet iPad Mini. Apabila dipadankan dengan aksesori seperti Razer Kishi V2 dan Sony DualShock 4, Fold4 boleh menjadi sebuah konsol mudah alih yang juga boleh dilipat selesa dalam kocek seluar.

Telefoni dan GPS

Peranti disokong oleh rangkaian 5G DNB di Malaysia. Kami tidak melanggan kepada rangkaian YES dan sekadar menggunakan plan pasca bayar Digi 4G LTE. Pengalaman penggunaan rangkaian ini amat memuaskan dengan panggilan suara adalah jelas terutamanya jika VoLTE diaktifkan (dan disokong telko yang digunakan). Rangkaian internet juga lancar di kawasan dengan 4G yang bagus. Jika rangkaian selular di kawasan anda tidak memuaskan terdapat sokongan VoWiFi.

Prestasi GPS juga amat pantas walaupun di tengah-tengah Kuala Lumpur dengan bangunan pencakar langit di kiri dan kanan jalan. Waze misalnya boleh mengesan lokasi dalam masa kurang satu saat. Sebagai sebuah telefon, pelayar web dan peranti navigasi, Fold4 tidak mengecewakan.

Kamera

Spesifikasi kamera tahun ini juga dipertingkatkan bagi menjawab keluhan pengguna Fold3 yang dikatakan tidak serasi dengan peranti yang dijual pada harga lebih RM6000. Kamera Galaxy S22 digunakan pada Fold4 tahun ini.

Lensa sudut lebar 50MP f/1.8 dipadankan dengan lensa telefoto 10MP f/2.4 dan ultra sudut lebar 10MP f/2.2. Kemampuan zum optikal meningkat ke 3X berbanding 2X tahun lalu dan zum digital sehingga 30X berbanding 10X tahun lalu. Kedua-dua lensa sudut lebar dan telefoto hadir dengan sistem penstabilan imej optikal OIS yang amatlah perlu bagi memastikan kemampuan fotografi yang memuaskan.

Kamera pada skrin luar pula masih lagi 10MP f/2.2 dan kamera swafoto bawah-skrin juga 4MP f/1.8. Perubahan hanya dilakukan pada kamera UDC yang disorokkan dengan lebih baik tetapi masih lagi boleh dilihat pada sudut tertentu. Kemampuan merakam video pula hanya sehingga 4K 60FPS dan bukannya 8K 24p pada siri S.

Jadi adakah penggunaan kamera dari S22 membawakan perubahan yang besar? Jawapan kami ialah ya kerana imej yang nampak lebih tajam, bermaya, warna lebih hidup dan terang. Di tempat terbuka penghasilan semula adalah amat baik menggunakan lensa sudut lebar dan ultra sudut lebar. Mengambil gambar objek dekat juga cantik dengan kamera tidak mempunyai isu memfokus subjek yang dikehendaki.

Mod malam adalah memuaskan sekali kerana sensor 50MP yang besar dan sistem OIS. Pendedahan gambar yang lebih lama sehingga 7 saat boleh dilakukan bagi mendapatkan gambar malam yang lebih terang.

Kamera bawah skrin 4MP tahun ini walaupun dipertingkatkan masih tidak menawarkan gambar yang memuaskan. Gambar nampak gelap, warna tidak menyerlah dan kurang tajam seperti di bawah ini.

Berbeza sekali dengan gambar yang diambil menggunakan kamera utama. Dengan mod Cover Screen Preview mengambil gambar swafoto dengan kamera utama 50MP adalah lebih mudah serta menawarkan kualiti gambar yang jauh lebih baik seperti di bawah.

Mod zum pula baik sehingga sekitar 10x zum sahaja. Melangkaui tahap ini gambar mula kelihatan kabur. Di bawah ialah sampel gambar menggunakan mod zum 1x, 3x, 10x dan 30x. Kesimpulannya dari ujian yang kami lakukan kamera pada Fold4 adalah perbadanan dengan statusnya sebagai sebuah peranti mercu.

Dalam 90% situasi kameranya tidak mengecewakan cuma kamera bawah skrin untuk swafoto yang masih lagi berkualiti rendah. Dengan kamera swafoto luar yang lebih baik dan boleh menggunakan kamera utama, mungkin kamera UDC tidak perlu disertakan pada Fold5 kelak.

Bateri

Tiada perubahan pada kapasiti bateri yang masih 4400 mAh dan menyokong pengecasan berwayar 25W, nirwayar 15W dan pengecasan berbalik 4.5W. Ini mungkin elemen paling mengecewakan tahun ini kerana S22 Ultra dilengkapi bateri 5000 mAh serta pengecasan 45W. Jelas format pengecasan yang disokong pada Fold4 adalah perlahan serta beberapa generasi ke belakang. Mi MIX Fold2 yang turut dilancarkan tahun ini menyokong pengecasan 67W.

Sungguhpun begitu kami dapat menikmati hayat SOT 8.5 jam pada penggunaan sederhana dan 6.5 jam pada penggunaan lebih berat. Ia mampu bertahan hampir 24 jam pada penggunaan sederhana dan sekitar 14.5 jam pada penggunaan lebih berat.

Hayat bateri yang baik ini dicapai kerana dalam 90% situasi kami hanya perlu menggunakan skrin luar dengan skrin boleh-lipat dibuka untuk menonton Netflix dan YouTube. Anda boleh lihat sendiri pada tangkapan layar di atas. Tahun lalu dalam 80% situasi kami perlu membuka skrin kerana skrin luar yang tidak begitu berguna. Pengecasan semula mengambil masa 90 minit dari 1% ke 100%. Tiada pengecas diberikan dengan setiap pembelian.

Audio

Dua speaker stereo yang menembak ke sisi menawarkan audio yang seimbang. Muzik dan video yang dimainkan boleh dinikmati dengan lebih baik kerana sistem audio Dolby Atmos turut disertakan. Bagi peminat aksesori audio nirwayar, terdapat sokongan coded AAC, SBC dan LDAC.

Masih tiada ruang untuk sebuah bicu audio 3.5mm. Kerana saiz peranti yang besar, speaker boleh diletakkan di atas dengan tangan di sisi tidak menutup lubang audio ketika sesi permua atau Netflix. Prestasi audio Fold4 adalah jauh lebih baik berbanding telefon pintar lain di pasaran sekarang.

Pesaing

Pesaing sebenar untuk Z Fold4 adalah Mi MIX Fold 2 serta Huawei Mate Xs 2.

Samsung Galaxy Z Fold4Xiaomi Mi MIX Fold 2Huawei Mate Xs 2
Luar – 6.2″ Dynamic AMOLED 2X, 120Hz
Dalam – 7.6″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz, HDR10+
Luar – 6.56″ AMOLED, 120Hz
Dalam – 8.02″ LTPO2 OLED, 120Hz, Dolby Vision
Luar – 6.5″ OLED, 120Hz
Dalam – 7.8″ OLED, 120Hz,
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Snapdragon 8+ Gen 1 (4nm)
1 X 3.19 GHz Cortex X2
3 X 2.75 GHz Cortex A710
4 X 1.8 GHz Cortex 510
Snapdragon 888 4G (5nm)
1 X 2.84 GHz Cortex X1
3 X 2.42 GHz Cortex A78
4 X 1.8 GHz Cortex A55
Adreno 730Adreno 730Adreno 660
12 GB LPDRR512 GB LPDRR58 GB LPDDR5
256/512/1000 GB UFS 3.1
256/512/1000 GB UFS 3.1

512 UFS 3.1
Kamera Utama
50MP, f/1.8 Sudut Lebar, OIS
10MP, f/2.2 Telefoto, 3X Zum Optikal, OIS
12MP, f/2.4 Ultra Sudut Lebar
Kamera Utama
50MP, f/1.8 Sudut Lebar, OIS
8MP, f/2.6 Telefoto, 2X Zum Optikal
13MP, f/2.4 Ultra Sudut Lebar
Kamera Utama
50MP, f/1.8 Sudut Lebar
8MP, f/2.4 Telefoto, 3X Optikal, OIS
13MP, f/2.2 Ultra Sudut Lebar
Kamera Hadapan
10-MP f/2.2
4-MP f/1.8 (UDC)
Kamera Hadapan
20-MP f/2.2
Kamera Hadapan
10.7-MP f/2.2
IPX8Tidak percikanTidak kalis air
Tiada bicu audioTiada bicu audioTiada bicu audio
Audio StereoAudio StereoAudio Stereo
4400 mAh (Berwayar 25W)4500 mAh (Berwayar 67W)4600 mAh (Berwayar 66W)
Harga bermula RM 6799Harga bermula RM5933*Harga 7999

Kesimpulan

Samsung Galaxy Z Fold4 ialah peranti skrin boleh-lipat terbaik pernah dihasilkan oleh Samsung. Selepas empat versi, ia akhirnya boleh kami katakan sesuai digunakan sebagai peranti kegunaan harian. Isu-isu pada model terdahulu hampir kesemuanya berjaya diselesaikan.

Skrin luar kini boleh digunakan dalam 90% situasi, perisian lebih mesra multi tugas, penggunaan adalah amat lancar, kamera kini dalam kelas mercu dan ketahanan bateri juga lebih baik berbanding tahun lalu. Pelbagai perubahan kecil yang dilakukan membawakan perubahan yang cukup besar.

Tetapi skrin boleh lipat masih lagi mempunyai kesan lipat, bateri masih lagi kecil, pengecasan masih perlahan dan kamera bawah skrin belum mampu disorok sepenuhnya.

Namun begitu jika anda mencari peranti skrin boleh-lipat terbaik di pasaran, Fold4 ialah yang kami sarankan sekarang kerana tiada yang mampu menawarkan pengalaman sebaiknya setakat ini. Memang harga Fold4 mahal bermula dari RM6799 tetapi ianya jelas berbaloi jika anda mencari sebuah telefon pintar yang juga boleh berubah menjadi tablet.

Pro

  • Skrin luar kini lebih berguna.
  • Spesifikasi yang cukup tinggi berkuasa.
  • Android 12L yang menjadikan penggunaan multi tugas amat lancar.
  • Kemampuan kamera yang baik.
  • Sokongan S Pen.
  • Bateri yang tahan lama.
  • Kalis air IPX8.
  • Sokongan versi Android sebanyak 4 versi dan tampalan sekuriti 5 tahun.

Kontra

  • Garis lipatan masih boleh dilihat pada skrin.
  • Pengecasan 25W adalah perlahan.
  • Kamera UDC masih kurang memuaskan.
  • Masih tiada tempat simpanan S Pen terbina.
  • Peningkatan harga tahun ini.
Komen