Cari @ Amanz

Kebelakangan ini, konsep peranti berhubung ataupun Internet of Things dilihat semakin moden, kompleks dan memerlukan komponen-komponen yang semakin berkuasa, tetapi masih lagi cekap dalam penggunaan kuasa untuk kegunaan 24/7.

Sehubungan dengan itu, Intel telah melancarkan siri cip pemprosesan baru yang dinamakan Alder Lake-HL dan Alder Lake-UL yang dibangunkan khusus untuk peranti-peranti berhubung, khususnya untuk kiosk-kiosk yang perlu menayangkan video.

Dibawah siri cip-cip pemprosesan ini, Intel telah melancarkan kira-kira 11 model cip pemprosesan baru untuk peranti-peranti berhubung yang memerlukan kuasa pemprosesan yang lebih tinggi daripada biasa. Ia hadir dengan jumlah teras dari 8-teras sehingga 14-teras, kelajuan dari 1.5GHz sehingga 4.8GHz dengan kemampuan Boost Clock dan jumlah penggunaan kuasa dari 35W sehingga 60W.

Matlamat utama pengeluaran cip pemprosesan siri Alder Lake-HL dan Alder Lake-UL ini, seperti yang dikatakan sebelum ini ialah untuk peranti-peranti berhubung yang memerlukan sebuah cip pemprosesan yang boleh menayangkan video beresolusi tinggi dan mempunyai sokongan untuk internet berkelajuan pantas yang boleh menghantar data bersaiz besar dengan cepat dan pantas.

Sebagai contoh, sebuah cip pemprosesan Intel Core i7-12800HL dilihat boleh memaparkan sehingga empat paparan skrin 4K60 ataupun satu paparan 8K60. Ia juga dilihat menyokong memori DDR5 dan mempunyai dua jaluran PCIe 4.0 x4 dan empat jaluran Thunderbolt 4 untuk kelajuan penghantaran data yang pantas.

Intel mengatakan juga bahawa cip-cip pemprosesan ini sudah mula diperkenalkan kepada pembangun sistem-sistem IoT yang mahu mengintegrasinya didalam peranti-peranti berhubung sedia-ada mereka.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd