Cari @ Amanz

Jenama gaming keluaran ASUS, iaitu Republic of Gamers secara lazimnya dikenali untuk komponen komputer, perkakasan IT dan aksesori yang dibangunkan untuk golongan gamer.

Penghala WiFi berjenama ROG juga bukanlah sesuatu yang baru, tetapi terkini, mereka telah memperkenalkan penghala WiFi yang hadir dengan ciri Mesh WiFi yang menggabungkan dua atau lebih unit penghala untuk memastikan keseluruhan kawasan rumah boleh disambungkan kepada rangkaian WiFi tanpa masalah.

Itulah apa yang dibangunkan oleh ASUS ROG, iaitu penghala WiFi ROG Rapture GT6 yang hadir dengan rekaan tanpa antena dimana kesemua sembilan komponen tersebut tersimpan didalam rangka penghala tersebut, memberikannya rekaan yang lebih kemas yang masih lagi agresif, sebati dengan DNA Republic of Gamers.

ROG Rapture GT6 ini hadir dengan sokongan untuk rangkaian WiFi6 dengan tiga jenis frekuensi, termasuklah 2.4GHz, 5.0GHz dan juga 5.9GHz dengan sokongan kelajuan penghantaran data sepantas 10,000Mbps dengan keluasan rangkaian 538 meter persegi.

Ia juga dilengkapi dengan teknologi ASUS RangeBoost Plus yang memudahkan penambahan keluasan rangkaian dan juga ASUS Instant Guard yang memastikan rangkaian anda sentiasa selamat daripada anasir-anasir luar.

Sebagai sebuah penghala gaming, ROG Rapture GT6 ini juga hadir dengan ciri dimana ia akan mengoptimasikan paket-paket data yang tiba daripada pelayan gaming yang akan mengurangkan masa pendam dalam permainan yang pastinya sangat penting apabila anda sedang bersemangat menewaskan pihak lawan apabila bermain permainan atas-talian.

Sama seperti penghala WiFi ASUS yang lain, ROG Rapture GT6 ini juga boleh dipasang dengan mudah menggunakan aplikasi ASUS Router tanpa perlu memerlukan sambungan kepada komputer seperti penghala-penghala WiFi sebelum ini.

ASUS mengatakan bahawa penghala ROG Rapture GT6 ini akan tiba ke pasaran-pasaran terpilih menjelang suku keempat tahun ini, dan akan hadir dalam pilihan warna hitam dan juga Moonlight White.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd