Jika anda memiliki sebuah komputer gaming berkuasa tinggi ataupun sebuah konsol permainan generasi baru Sony PlayStation 5 dan Microsoft Xbox Series X, anda pasti mahukan sebuah paparan skrin yang boleh memanfaatkan kuasa pemprosesan grafik pada mesin-mesin ini.

Dengan itu, ASUS ROG telah memperlihatkan dua paparan skrin gaming gergasi terbaru mereka, iaitu ROG Swift OLED PG42UQ dan ROG Swift OLED PG48UQ iaitu dua paparan skrin besar gergasi bersaiz 42 dan 48 inci yang menggunakan panel OLED dengan resolusi 4K dan kadar segar semula 138Hz.
Kedua-dua paparan ini hadir dengan nilai kontras dinamik 1,200,000:1, boleh memaparkan 98 peratus gamut warna DCI-P3 dan mempunyai nilai Delta E<2. Panel OLED yang digunakan juga hadir dengan sokongan untuk teknologi olahan warna HDR10.

Dari segi sokongan palam pula, kedua-dua ROG Swift OLED PG42UQ dan PG48UQ ini hadir dengan dua palam HDMI 2.1 untuk sokongan resolusi 4K dengan kadar segar semula 120Hz, dua palam HDMI 2.0, dan sebuah hub USB. Sekiranya anda tidak mahu menyambungkan pembesar suara luaran kepada paparan skrin ini, ia juga hadir dengan pembesar suara 2.1 terbina yang dibangunkan dengan kerjasama bersama Harman Kardon.
Menarik lagi ialah paparan skrin ini juga hadir dengan sistem penyejukannya sendiri kerana sebuah bahagian litar pada paparan skrin yang besar seperti ini boleh mengalami isu kepanasan melampau, dan dengan sistem penyejukan ini, ia boleh mengurangkan kebarangkalian bahawa komponen-komponen dalaman ini akan rosak akibat isu haba.

Buat masa ini, ASUS masih belum mengesahkan bilakah paparan-paparan skrin ROG Swift OLED PG42UQ dan ROG Swift OLED PG48UQ ini akan mula dijual di pasaran tempatan, tetapi ia sudahpun mula dijual di Taiwan pada harga sekitar $1299-$1499.