Carian
Ulasan Logitech MX Mechanical Dan Master 3S – Produktiviti Pro Tanpa Gangguan
August 26, 2022 Fahim Zahar

Jenama Logitech sudah lama ada di pasaran. Malah sejak saya masih belajar di universiti lagi saya sudah menggunakan pelbagai produk Logitech. Untuk diri saya yang bukan seorang gamer, saya jarang menggunakan produk-produk gaming mereka. Tetapi saya lebih mengenali produk produktiviti mereka dan yang saya gemari sehingga hari ini adalah tetikus MX Master 3.

Baru-baru ini, Logitech telah melancarkan model baharu untuk tetikus ini iaitu MX Master 3S dan bersama-sama dengannya adalah papan kekunci MX Mechanical yang menggunakan suis profil rendah.

Selepas berminggu menggunakan produk ini, percaya atau tidak kedua-duanya adalah antara yang terbaik pernah saya gunakan dan sepanjang penggunaan saya boleh katakan saya tidak alami sebarang masalah besar. Tugasan harian saya menjadi semakin lancar, saya tidak alami sebarang gangguan serta saya rasa diri ini sudah menjadi semakin pro. Tetapi untuk anda, adakah ini set papan kekunci dan tetikus terbaik? Adakah berbaloi untuk habiskan lebih RM1000 untuk kedua-duanya? Saya akan kongsi pengalaman saya dan pendapat dalam artikel ulasan ini.

Logitech MX Mechanical

Spesifikasi & Rekaan

Untuk produk pertama dalam siri ini, ia adalah papan kekunci baharu mereka dengan suis profil rendah mereka yang tersendiri. Menurut Logitech, mereka telah mengintegrasikan ciri daripada papan kekunci gaming mereka ke dalam siri MX Master. Untuk unit ulasan ini, suis yang digunakan adalah jenis taktil senyap seakan suis Brown yang memberi kesan taktil ketika menaip dan tidak berbunyi bising walaupun ia adalah papan kekunci jenis mekanikal.

Logitech turut menawarkan pilihan suis kesan klik seakan Blue serta jenis linear seakan Red. Logitech MX Mechanical ini tidak menyokong ciri suis boleh tukar dan semuanya telah sedia terbina dalam tubuh yang nipis. Kekunci yang digunakan juga adalah jenis nipis untuk pengalaman menaip yang pantas dan lancar. Ia juga mempunyai butang suis hidup/mati, port USB-C dan kaki untuk menjadikan papan kekunci sedikit lebih tinggi ketika menaip.

Saiz papan kekunci ini jenis penuh yang kompak dengan barisan kekunci “F” tidak diasingkan pada barisan tersendiri, serta susunan keseluruhan yang rapat. Turut terdapat tiga kekunci sambungan untuk menambat papan kekunci ke tiga peranti berbeza dan boleh bertukar-tukar dengan satu klik sahaja. Sambungan adalah jenis nirwayar dengan Bluetooth atau melalui dongel USB dengan teknologi Logi Bolt yang menyokong satu dongel untuk enam peranti.

Logitech MX Mechanical ini turut mempunyai lampu LED putih terbina untuk membantu pengguna menaip pada waktu malam ketika gelap. Pelbagai corak pergerakan boleh diubah melalui perisian Logi Option+, iaitu perisian yang sama untuk tetapan sambungan Logi Bolt dan tetapan papan kekunci seperti mengubah fungsi setiap kekunci. Logitech turut menyertakan sensor ambien untuk mengaktifkan lampu secara automatik apabila tangan pengguna berdekatan dengan papan kekunci di suasana yang gelap.

Pengalaman Penggunaan

Sebagai pengguna yang biasa menggunakan papan kekunci mekanikal tersuai seperti Keychron Q1, Logitech MX Mechanical ini tidak berada dalam radar saya. Ini kerana papan kekunci ini bukan jenis mekanikal sebenar, tetapi cuba menawarkan pengalaman penggunaan seakan papan kekunci mekanikal. Ia juga adalah papan kekunci serba boleh untuk mudah di bawa ke mana-mana, mudah digunakan bersama-sama dengan banyak peranti dan lebih memfokuskan konsep terus pasang dan pakai.

Semasa hari pertama saya menggunakan papan kekunci, saya rasa sedikit aneh kerana sudah sekian lama tidak menggunakan papan kekunci mekanikal profil rendah. Ia mengambil saya masa beberapa hari untuk biasakan diri dengannya dan tanpa saya sedari selepas beberapa minggu penggunaan, Logitech MX Mechanical ini adalah papan kekunci harian saya.

Pengalaman menaip pada papan kekunci ini adalah baik sekali. Ia rasa lancar, selesa dan jari saya tidak rasa penat dan setiap kekunci ditekan tidak rasa begitu berat. Saya juga boleh menaip dengan pantas dan artikel yang saya tulis dengan papan kekunci ini rasa lebih tepat berbanding sebelum ini. Saya sukakan perasaan menekan setiap kekunci yang ada kesan taktil kerana ia berjaya mimik suis Brown sebenar seperti Cherry MX Brown.

Keselesaan pada papan kekunci ini turut membuatkan saya kerap membawa pulang ke rumah untuk sambung bekerja dengannya, walaupun saya sudah ada papan kekunci lain. Ciri Smart Illumination iaitu lampu yang menyala secara automatik apabila mengesan tangan saya menghampirinya juga pada saya membantu kerana saya tidak perlu mencari kekunci spesifik dalam keadaan gelap.

Akhir sekali apa yang membuatkan papan kekunci ini sesuai sebagai papan kekunci sandaran saya adalah, ia mesra dengan pelbagai peranti. Bukan sahaja kerana sokongan sambungan Bluetooth LE yang jimat tenaga dan menjamin ketahanan bateri atau Logi Bolt yang jimat port USB-A komputer saya kerana menyokong satu dongel untuk semua – tetapi ia menyokong sehingga tiga peranti serentak dengan satu butang sahaja. Bateri yang saya dapat, lebih 15 hari dengan penggunaan lampu. Sejak hari pertama menggunakannya, ketika artikel ini ditulis baki bateri adalah 50%.

Papan kekunci mekanikal tersuai tidak ada ciri seperti ini, kerana ia lebih kepada pengalaman penggunaan dan citarasa seseorang. Untuk Logitech MX Mechanical ini, ia adalah produk yang sesuai untuk semua.

Logitech MX Master 3S

Spesifikasi Dan Rekaan

Sudah bertahun saya memerhatikan ramai menggemari tetikus Logitech MX Master ini. Saya mula sedari kewujudannya siri ini melalui model MX Master 2 dan 2S kerana melihat ramai pengulas teknologi menggunakannya. Tetapi ketika itu saya masih tidak mampu membelinya dan tetikus ini juga masih menggunakan sambungan mikro USB. Tetapi tetikus ini mula mendapat perhatian saya ketika MX Master 3 dilancarkan kerana mula menggunakan USB-C. Sekitar tahun lepas saya mula menggunakannya dan sehingga hari ini ia adalah tetikus kegemaran saya dan kali ini saya berpeluang pula menggunakan MX Master 3S yang seakan tiada bezanya.

Dari segi rekaan, tetikus ini menggunakan rekaan tebal dan besar di belakang tetapi sedikit tirus di hadapan. Di siri kiri, tetikus ini mempunyai lengkungan untuk ibu jari yang mana mempunyai akses pantas kepada empat perkara. Pertama adalah pada sekitar permukaan bergetah yang ada butang akses pantas kepada semua tetingkap terbuka, kemudian ada dua butang fizikal boleh ubah seperti untuk salin/tampal, kembali dan sebagainya serta ada roda skrol sisi yang boleh diubah untuk mengawal kecerahan, aras suara dan lain-lain yang sesuai untuk menggunakan kawalan secara skrol.

Di permukaan atas terdapat butang kiri dan kanan seperti biasa yang mana di sinilah perbezaan ketara mula dapat dirasai berbanding MX Master 3. MX Master 3S mempunyai suis baharu yang senyap dan tiada bunyi klik. Permukaan yang nampak licin, tetapi sebenarnya banyak cengkaman diberikan. Turut tersedia adalah roda skrol menegak yang bermotor untuk skrol secara satu demi satu atau skrol bebas dengan butang mengubah tetapan skrol ini.

Di bawah pula terdapat suis hidup/mati, butang profil untuk sambungan ke tiga peranti berbeza dan sensor optikal serba baharu yang kini menyokong sehingga 8K DPI berbanding model sebelum yang hanya 4K. Seperti papan kekunci tadi, tetikus ini turut menyokong penggunaan Logi Bolt.

Pengalaman Penggunaan

Tetikus MX Master 3 adalah tetikus terbaik saya pernah gunakan sepanjang hidup saya dan MX Master 3S ini masih memberikan pengalaman penggunaan yang sama. Tetapi saya sedikit kecewa dengannya, kerana suis pada kiri dan kanan yang jenis senyap tidak memberi kepuasan klik seperti sebelum. Ia senyap dan tidak menjengkelkan orang di sekeliling, tetapi ia seakan mempunyai kekurangan walaupun Logitech cuba menawarkan sesuatu yang baik.

Untuk sensor 8K DPI, ia agak tinggi dan sukar untuk saya gunakan pada tetikus ini kerana ia berat 141g berbanding tetikus gaming yang saya uji iaitu Razer DeathAdder V2 Pro yang hanya 88g dengan 20K DPI. Jadi saya masih menggunakan tetapan yang sama yang saya selesa iaitu sekitar 1K ke 2K sahaja. Penggunaan 2K yang pantas pun mudah membuatkan tangan rasa penat dan lenguh, bayangkan jika lebih tinggi.

Apa yang membuatkan saya sukakan tetikus ini adalah keselesaan berpanjangan. Saya tidak pernah ada isu menggunakan tetikus ini dan dengan tetapan yang sesuai dengan diri saya, sukar untuk rasa penat dan lenguh. Kemudian dengan sokongan Logi Bolt dan sambungan ke banyak peranti serentak, tetikus ini memudahkan tugasan harian saya jika ingin gunakan pada komputer kemudian tukar ke iPad dengan sangat pantas.

Kelebihan MX Master 3S ini juga adalah sokongan Logi Flow yang boleh menggunakan tetikus dari satu platform ke platform lain dengan lancar seakan Windows dengan monitor tambahan dalam mod Extended. Tetapi ciri ini saya jarang gunakan, kerana ruang pekerjaan saya yang sedikit sempit.

Akhir sekali, paling yang saya suka pada tetikus ini adalah kemampuan menetapkan pelbagai fungsi berbeza untuk setiap butang dan roda skrol yang ada padanya. Contohnya saya boleh ubah fungsi tetikus ini untuk berbeza dalam Photoshop, berbeza dalam Mozilla Firefox dan banyak lagi perisian. Mungkin untuk suntingan pada roda skrol saya boleh gunakan untuk ubah saiz berus kemudian butang kiri dan kanan pada ibu jari untuk redo/undo. Sementara pada pelayar web, roda skrol sisi adalah untuk menukar antara tab-tab terbuka.

Perisian

Menjadikan pengalaman penggunaan siri MX Master ini lengkap adalah perisian Logi Option+ yang mana pada hemat saya adalah perisian terbaik untuk papan kekunci dan tetikus. Ia mempunyai antaramuka mesra pengguna, mudah digunakan dan amat jelas.

Perisian ini membolehkan sambungan dengan Logi Bolt ditetapkan untuk enam produk berbeza, mengawal produk lain dalam ekosistem Logitech bersama-sama, mengubah tetapan pada butang, lampu, kekunci dan pelbagai lagi. Logitech turut menjaga produk-produk mereka dengan baik dengan kerap memberi kemas kini pengoptimasian agar siri MX Master sentiasa berfungsi dengan lancar.

Kesimpulan

Sepanjang beberapa minggu menggunakan MX Master 3S dan MX Mechanical, saya boleh katakan dua produk ini adalah padanan terbaik untuk tujuan produktiviti. Papan kekunci yang selesa digunakan, kerja-kerja menaip yang lancar dan pantas, rekaan nipis dan kompak, serta ada ciri lampu menyala secara automatik. Untuk tetikus pula yang mempunyai banyak butang tersuai, serta roda skrol yang sangat seronok untuk digunakan – sukar untuk saya tukar ke tetikus lain selepas ini.

Paling penting, ekosistem Logi Bolt yang boleh menggunakan satu dongel untuk banyak peranti serentak dan kedua-dua tetikut dan papan kekunci ini yang boleh terus disambungkan ke tiga peranti berbeza pada satu masa amat membantu saya menoptimasikan lagi kerja-kerja saya menjadi lebih efisien.

Logitech MX Mechaninal dijual pada harga RM819 dan MX Master 3S pula adalah RM449. Kedua-dua produk ini berjumlah RM1,268 yang mana agak mahal sebenarnya. Tetapi pada hemat saya, saya lebih pentingkan tetikus yang berkuasa seperti ini dan harga yang ditawarkan masih boleh diterima berbanding tetikus gaming yang mencecah lebih RM700. Untuk papan kekunci, walaupun saya seronok menggunakannya tetapi harga RM800 anda boleh beli papan kekunci mekanikal tersuai yang akan memberi anda lebih keselesaan seperti Keychron Q1 yang dijual pada harga sekitar RM600 sahaja sekarang – jika anda tidak mahukan ciri Logi Bolt.

Pro

  • Bahan binaan yang berkualiti dan mesra alam.
  • Boleh digunakan secara terus.
  • Menyokong sambungan ke tiga peranti serentak.
  • Ciri Logi Bolt yang memerlukan hanya 1 dongel untuk 6 peranti.
  • Bateri yang bertahan pada jangka masa panjang.
  • Perisian Logi Option+ yang menjadikan pengalaman penggunaan lebih lengkap.

Kontra

  • Suis pada tetikus yang terlampau senyap dan tidak memuaskan.
  • Permukaan tetikus yang cepat kotor.
  • Susun atur kekunci pada papan kekunci yang terlampau padat.
  • Harga jualan yang tidak mesra untuk semua pengguna.
Komen