Cari @ Amanz

Fitbit yang dimiliki oleh Google, hari ini mengumumkan penawaran tiga produk baharu dibawah mereka, masing-masing dengan pengenalan Fitbit Sense 2, Fitbit Versa 4 dan juga Fitbit Inspire 3.

Pertama sekali, untuk Fitbit Inspire 3, ia merupakan gelang tangan pintar dengan penawaran asas. Ia hadir dengan penawaran masa penggunaan bateri sehingga 10 hari serta skrin OLED berwarna, termasuk menyertakan sensor SpO2. Fitbit seperti biasa mengetengahkan peranti sebagai memfokuskan kepada kecergasan dan kesihatan, disamping membolehkan pengguna memantau sejumlah data kesihatan berkaitan diri sendiri. Melengkapkan produk ini juga adalah akses 6 bulan untuk Fitbit Premium.

Untuk Fitbit Versa 4 dan juga Fitbit Sense 2, ia hadir dibawah keluarga jam tangan pintar, dan mengintegrasikan ciri kesihatan dalam memantau sejumlah perkara seperti denyutan nadi, termasuk memantau kadar tekanan atau stres sepanjang hari melalui Sense 2. Untuk tujuan ini, sensor cEDA digunakan.

Kedua-dua jam tangan pintar ini turut menerima kemaskini kecil dari segi rekaan, disamping turut menggunakan Google Wallet sebagai ganti kepada Fitbit Pay sebelum ini.

Dengan pengambil-alihan Google juga, ia kini mula mengintegrasikan sedikit rekaan Wear OS 3 pada bahagian sistem operasi. Disamping itu, Fitbit juga akan mula memperlihatkan sokongan navigasi Google Maps pada pergelangan tangan.

Buat masa ini, harga jualan tempatan untuk ketiga-tiga peranti Fitbit ini masih belum diketahui lagi.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd