Bersempena dengan acara jualan Hari Pembelian Hebat 9.9 yang akan berlangsung tidak lama lagi, Shopee telah mengeluarkan butiran mengenai sebuah tinjauan mengenai corak pembelian rakyat Malaysia yang telah dijalankan oleh mereka baru-baru ini.
Shopee telah menanyakan sejumlah soalan kepada 3356 pelanggan tempatan dan juga 2132 penjual tempatan mereka tentang mengapakah ia penting untuk menyokong para penjual tempatan dan telah menerima respon yang cukup menarik sekali.
42 peratus daripada responden mengatakan bahawa mereka membeli barangan daripada penjual tempatan untuk mendapatkan barangan yang diperlukan dengan lebih cepat. 30 peratus mengatakan bahawa barangan tempatan yang dibeli memenuhi kehendak dan citarasa mereka.

20 peratus mengatakan bahawa ia adalah penting untuk membeli produk tempatan untuk memastikan ekonomi negara bertambah maju, khususnya selepas wabak COVID-19 yang membelenggu negara untuk dua tahun yang lalu.
70 peratus responden juga mengatakan bahawa membeli barang-barangan atas talian dapat menghasilkan penjimatan sekitar 5 peratus berbanding apabila mereka keluar membeli barangan di kedai-kedai fizikal.
Isu penjimatan ini dilihat sebagai sangat penting kepada para pelanggan Shopee yang ditanya ini, dengan 50 peratus daripada mereka mengatakan bahawa mereka perlu mengurangkan kos perbelanjaan kerana kegawatan ekonomi yang sedang melanda negara.

14 peratus daripada responden mengatakan bahawa mereka tidak mempunyai pendapatan yang mencukupi untuk menampung keperluan penting manakala 10 peratus meramalkan bahawa mereka akan dipaksa untuk membuat perbelanjaan besar pada bulan-bulan akan datang dan 6 peratus daripada mereka membeli-belah untuk tanggungan yang ramai.
Kenneth Soh, Ketua Kempen Pemasaran di Shopee Malaysia turut mengatakan bahawa 7 daripada 10 pelanggan dalam tinjauan tersebut mengatakan bahawa mereka menggunakan Shopee bukan sahaja untuk kupon dan baucar yang ditawarkan, tetapi juga kerana untuk barang-barang yang dibeli, ia hadir dengan tanda harga yang lebih murah berbanding dengan kedai-kedai fizikal dan atas talian yang lain.
Untuk para penjual di Shopee pula, 8 daripada 10 penjual dalam tinjauan ini mengatakan bahawa Shopee ialah platform penjualan atas talian pertama mereka, dan 24 peratus daripada responden mengatakan bahawa Shopee adalah satu-satunya platform jual-beli atas talian yang digunakan mereka.