Cari @ Amanz

Peminat produk Apple yang tegar akan sanggup menghabiskan wang mereka untuk memiliki semua produk yang dikeluarkan. Ada juga yang berkemampuan, sanggup membeli barangan klasik Apple untuk dikumpulkan seperti produk prototaip, dokumen Steve Jobs dan lain-lain lagi.

RR Auction yang kerap menjual barangan Apple melalui proses bidaan, baru-baru ini telah berjaya menjual iPhone pertama yang masih baru di dalam kotak dengan plastik yang masih belum dikoyakkan. Ia adalah iPhone pertama yang dilancarkan pada tahun 2007. Bukan itu sahaja, ia adalah unit iPhone dalam barisan produksi pertama.

Perkara ini disahkan kerana skrin utama iPhone ini memaparkan 12 ikon, berbanding barisan produk kedua yang mempunyai 13 ikon untuk menyertakan ikon aplikasi iTunes. Kotak iPhone ini masih tidak mempunyai ikon iTunes lagi.

iPhone ini mempunyai storan dalaman 8GB, dijana cip 412MHz ARM 11 dengan GPU PowerVR MBX, skrin TFT 3.5-inci dengan resolusi 320×480 piksel, satu kamera 2MP dan bateri 1400mAh. iPhone ini mempunyai nombor model A1203 dan ketika pelancaran ia dijual pada harga $599 (tahun 2007, sekitar RM2100).

Di RR Auction, iPhone ini telah dilelong pada harga $35,414 iaitu sekitar RM158,389.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd