Carian
Mobvoi TicWatch GTH 2 Dilancarkan Dengan Skrin Lebih Besar
August 25, 2022 Amy Maizuraa

Movboi TicWatch GTH 2 telah dilancarkan di China sebagai model kemas kini untuk TicWatch GTH sebelum ini. Ia masih menggunakan reka bentuk seumpama generasi sebelumnya menerusi muka jam berbentuk empat segi dan tali sejenis silikon. Tetapi paparan dan nisbah skrin-ke-badan adalah lebih besar dengan penggunaan skrin bersaiz 1.72-inci.

Seterusnya, ia turut memuatkan lebih 100 pilihan muka jam yang boleh dikostumasi. Di samping, pelbagai mod sukan terbina yang digabungkan dengan algoritma senaman profesional. Sensor PPG terbina turut disertakan pada TicWatch GTH2 untuk kebolehan pemantauan kesihatan seperti kadar degupan jantung, ketepuan oksigen dalam darah, tahap tekanan, pola tidur dan kadar pernafasan.

Menariknya, jam tangan ini juga memuatkan lebih 40 jenis audio yang menenangkan bertujuan membantu mengurangkan masalah sukar tidur dalam kalangan pengguna. Bukan itu sahaja, terdapat juga sensor suhu terbina untuk pemantauan suhu badan masa nyata. Kemampuan melakukan panggilan telefon, membaca mesej dan kawalan menggunakan suara menerusi jam juga diberikan.

Tidak ketinggalan, bateri yang digunakan mampu beroperasi sehingga 10 hari dan ia turut melepasi tahap piawaian kalis air IP68 yang sesuai untuk dibawa berenang. Untuk harga, TicWatch GTH2 dijual pada RMB399 (~RM260) seutas. Buat masa ini, masih tiada maklumat lanjut mengenai penawarannya untuk pasaran tempatan.

Komen