HyperX, sub-jenama gaming yang dimiliki oleh HP baru-baru ini telah memperkenalkan model paparan gaming terbaru mereka yang dinamakan HyperX Armada 25 dan Armada 27 yang dibangunkan khusus untuk tujuan e-sukan.
Kedua-dua paparan skrin ini menggunakan panel IPS, dimana Armada 25 tampil dengan saiz paparan 24.5 inci dengan resolusi Full HD dan kadar segar semula 240Hz. Armada 27 manakala adalah sebesar 27 inci dengan resolusi 2560×1440 dan kadar segar semula 165Hz.
Kedua-dua paparan ini hadir dengan nilai kecerahan 400 nit dan hadir dengan sokongan untuk teknologi paparan NVIDIA GSYNC yang mengurangkan isu cerakan skrin, dan dilengkapi dengan palam-palam DisplayPort 1.4 dan juga HDMI 2.0 terbina. Kedua-dua paparan ini juga tiada pembesar suara terbina.
Apa yang menarik mengenai siri paparan skrin HyperX Armada ini ialah ia disertakan dengan pendakap meja yang dinamakan Armada Single Gaming Mount yang boleh menyokong paparan sehingga saiz 32 inci tanpa masalah.
Penggunaan pendakap ini membolehkan pengguna untuk membina sebuah setup komputer yang tidak memakan ruang meja yang banyak dan secara langsung juga membolehkan pengguna untuk meletakkan aksesori-aksesori tambahan tanpa masalah.
HyperX mengatakan bahawa mereka akan mula menjual paparan-paparan skrin ini pada harga $449.99 and $499.99 di pasaran-pasaran terpilih bermula bulan September.