Projek Rua Al Madinah Menjadikan Madinah Kota Moden Mesra Alam Untuk 30 Juta Jemaah Umrah

Diterbitkan pada Ogos 25, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Putera Muhammad bin Salman semalam melancarkan Projek Rua Al Madinah yang akan membangunkan kawasan yang terletak di timur Masjid Nabawi. Di bawah projek ini Madinah akan mempunyai kapasiti mencukupi untuk menyambut 30 juta jemaah umrah setiap tahun.

Projek Rua Al Madinah akan mempunyai keluasan 1.5 juta meter persegi dengan ruang lantai bangunan yang dibina pula mencecah 4.9 juta kaki persegi. Sebanyak 47,000 bilik hotel baharu akan dibina dengan kapasiti 149,000 jemaah sehari. Projek mega yang turut akan mewujudkan 93,000 ruang pekerjaan.

Selain mewujudkan kawasan bandar moden dalam Madinah, projek ini juga akan menjadi templat pembangunan masa depan yang moden tetapi juga mesra alam. Ia akan dibina dengan ruang pejalan kaki yang lebar supaya jemaah boleh berjalan dengan selesa ke Masjid Nabawi. Terdapat laluan khas untuk kenderaan dan pod pengangkutan awam swapandu.

Pengangkutan rel juga akan turut dibina dengan terdapat ruang parkir bawah tanah supaya kenderaan tidak dapat dilihat di tepi jalan. Sepanjang perjalanan akan terdapat kanopi yang melindungi jemaah daripada sinar matahari yang terik.

Rua Al Madinah adalah salah satu dari pelbagai projek modenisasi yang dilakukan oleh Arab Saudi untuk mengubah imej negara yang lebih dikenali sebagai pengeluar petroleum. Projek The Line yang merupakan bangunan terbesar dunia, taman tema air The Rig dan pusat peranginan Coral Bloom juga diumumkan sebelum ini di bawah visi 2030 Arab Saudi.

komen


© Amanz / 2022 Kami