Sel tunjang adalah sel asas yang kemudiannya berubah menghasilkan sel, organ dan anggota tubuh yang lain. Oleh itu saintis amat berminat mengkaji sel tunjung bagi tujuan rawatan serta mempelajari lebih dalam mengenai fisiologi tubuh. Selama ini kita diajar untuk menghasilkan embrio mamalia, sperma dan telur perlu bergabung. Tetapi saintis dari United Kingdom telah berjaya menghasilkan embrio tanpa dua komponen ini.
Sebaliknya embrio seekor tikus berjaya dihasilkan di dalam makmal menggunakan hanya sel tunjang. Tiga jenis tunjang yang diperlukan untuk pembentukan embrio digabungkan dengan ia kemudiannya membentuk otak dan jantung yang berdegup. Embrio ini walau bagaimanapun hanya bertahan selama 8.5 hari sahaja kerana tidak diletakkan di dalam rahim.
Ini bukan kali pertama embrio berjaya dihasilkan daripada sel tunjang. Awal bulan ini saintis dari Israel turut mengumumkan kejayaan yang sama tetapi pasukan dari UK mengatakan kertas kajian mereka telah menjalani proses semakan sejak setahun lalu dan lebih kompleks.
Pembentukan embrio dari sel tunjang ini mempunyai beberapa aplikasi perubatan seperti menghasilkan organ gantian apabila diperlukan di masa hadapan dan mempelajari mengapa berlakunya keguguran ketika kehamilan. Dengan maklumat yang dikumpul isu keguguran mungkin dapat diselesaikan di masa depan bersama dengan kekurangan organ yang didermakan.
Kertas kajian menghasilkan embrio menggunakan hanya sel tunjang telah diterbitkan dalam jurnal Nature.