Kebelakangan ini, ASUS boleh dilihat memfokuskan kepada produk-produk yang membantu golongan kreatif profesional untuk mendapatkan prestasi yang terbaik daripada komputer-komputer mereka. Selain daripada melancarkan siri komputer ASUS Zenbook dan ProArt yang lebih cenderung kepada pilihan premium, mereka kini telah memasukkan siri ASUS Vivobook juga kedalam segmen kreatif tersebut.

ASUS Vivobook Pro 15 OLED dan ASUS Vivobook Pro 16 OLED ialah penawaran terbaru mereka didalam segmen ini, dimana ia tampil dengan paparan OLED bersaiz 15.6 dan 16 inci dengan resolusi 2.8K dan 3.2K dengan kadar segar semula 120Hz dengan nilai kecerahan 600nit dan kebolehan untuk mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3.
Dari segi penawaran cip pemprosesan, ia tampak hadir dengan pilihan untuk CPU Intel Alder Lake ataupun AMD Ryzen 6000 dan 5000, memori DDR4 sebanyak 16GB dan juga storan dalaman SSD PCIe 3.0 sebesar 1TB. Dari segi penawaran kad grafik pula, ia dilihat hadir dengan NVIDIA GeForce RTX 3050/3050 Ti yang cukup berkuasa untuk mengolah dan mengekod media dan video beresolusi tinggi.

Siri komputer riba ini turut hadir dengan bateri bersaiz 78-96Wh untuk penggunaan sepanjang hari, dan mempunyai adapter pengecasan pantas 150Wyang membolehkan anda untuk mengecas komputer riba ini dengan cepat.
Dari segi teknologi, ia juga dilihat hadir dengan sokongan untuk WiFi6E dan Bluetooth 5.2 bersama sama dengan Thunderbolt untuk penghantaran data yang pantas.

ASUS Malaysia telah mengesahkan bahawa model ASUS Vivobook Pro 15 OLED dengan penawaran cip pemprosesan AMD Ryzen akan memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi dengan penawaran cip pemprosesan yang terbaru. Harga dan tarikh pelancaran produk ini akan diperlihatkan tidak lama lagi.
- Sumber
- ASUS Malaysia