Twitter Diarahkan Memberi Butiran 9000 Akaun Kepada Elon Musk Untuk Menguji Kejituan Pengguna

Diterbitkan pada Ogos 26, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Drama pengambilalihan Twitter oleh Elon Musk nampaknya masih belum berakhir, dimana terkini, syarikat platform media sosial tersebut telah diarahkan oleh Mahkamah Delaware untuk memberikan sampel data pengguna yang telah diaudit kepada individu terkaya di dunia tersebut untuk menguji kejituan jumlah pengguna.

Beberapa bulan yang lalu, Elon Musk dilihat berminat untuk mengambil-alih Twitter dengan harga $44 bilion. Tidak lama selepas itu, beliau mengatakan bahawa beliau mahukan data-data pengguna Twitter untuk melihat sendiri samada platform tersebut dipenuhi oleh bot spam ataupun tidak.

CEO Twitter mengatakan data tersebut tidak boleh diberi kepadanya kerana ia terlalu banyak dan akan menyebabkan isu kepercayaan kerana data tersebut boleh disalahguna dengan mudah. Elon Musk kemudiannya berkata bahawa beliau tidak jadi membeli Twitter, dan ini menyebabkan kedua-dua pihak tersebut bertelagah di mahkamah sekarang.

Terkini, mahkamah Delaware telah mengatakan bahawa permintaan Elon Musk untuk kesemua data pengguna Twitter ialah tidak masuk akal kerana ia terlalu banyak dan tiada sebab mengapa ia perlu diberikan kepadanya.

Walaupun begitu, Twitter masih lagi telah diarahkan untuk memberi 9000 akaun pengguna rawak yang telah diaudit kepada Elon Musk untuk tujuan penyemakan samada platform tersebut benar-benar dipenuhi dengan akaun bot ataupun tidak.

Pihak Twitter diberi masa dua minggu untuk memberikan data pengguna ini kepada Elon Musk, dan ia dijangka bahawa proses pengambilalihan syarikat tersebut akan bersambung selepas pihaknya berpuas hati dengan pengesahan bahawa Twitter tidak dipenuhi dengan akaun-akaun bot yang dikatakan.

komen


© Amanz / 2022 Kami