LG ialah sebuah jenama yang tidak asing lagi apabila bercakap mengenai pilihan paparan mereka, tidak kira untuk televisyen bersaiz kecil hingga besar ataupun paparan skrin untuk produktiviti ataupun riadah.

Syarikat teknologi dari Korea Selatan tersebut baru-baru ini telah memperkenalkan paparan skrin gaming terbaru mereka, iaitu LG UltraGear 45GR95QE yang tampil dengan paparan OLED ultra-lebar bersaiz 45 inci dengan resolusi 1440p dan kadar segar semula 240Hz. Ia juga tampil dengan skrin melengkung yang menambahkan keasyikan apabila bermain permainan komputer.
Paparan skrin ini hadir dengan kadar lengkungan 800R dan nisbah paparan 21:9 bersama-sama dengan kebolehan untuk mengolah 98.5 peratus gamut warna DCI-P3 dan menyokong teknologi paparan HDR10.
Untuk kepelbagaian penggunaan, seperti untuk komputer gaming berkuasa dan juga konsol-konsol permainan video keluaran Sony dan Microsoft, ia juga hadir dengan sokongan untuk palam HDMI 2.1 dan DisplayPort 1.4 untuk Variable Refresh Rate dan juga sokongan penunjukkan resolusi dan kadar segar semula tinggi.

Dalam pada itu, paparan LG Ultragear 45GR95QE ini juga mempunyai sejumlah fungsi yang berguna seperti picture-by-picture and picture-in-picture untuk memaparkan pelbagai kandungan daripada satu sumber ataupun sumber-sumber yang berbeza.
LG mengatakan bahawa mereka akan memperlihatkan paparan skrin terbaru mereka ini di acara IFA yang akan berlangsung pada bulan hadapan, dan mengumumkan tarikh dan harga jualan di acara tersebut juga.
- Sumber
- LG Newsroom