Cari @ Amanz

Setiap peranti boleh-pakai Garmin mempunyai fokus dan tarikan masing-masing. Terbaru, Garmin Approach S42 GPS telah diperkenalkan di Malaysia dengan tanda harga RM1,480 seutas. Bagi yang berminat, ia boleh didapati menerusi beberapa saluran berbeza seperti Lazada, Shopee, AECO e-store dan pengedar sah Garmin di seluruh Malaysia bermula hari ini.

Garmin Approach S42 merupakan jam premium golf dengan GPS yang menawarkan maklumat lengkap hampir 42,000 padang golf pada pergelangan tangan pengguna. Ciri berkenaan dimuatkan dalam seutas jam tangan dengan skrin sesentuh sebesar 1.2-inci yang berwarna. Tubuhnya turut dipadankan dengan bingkai sejenis logam.

Antara ciri utama yang disertakan adalah seperti AutoShot Game Tracking yang boleh mengukur jarak pukulan, seterusnya merekod data terus ke dalam aplikasi Garmin Golf. Seterusnya, ciri Green View pula mampu menunjukkan keadaan bentuk muka bumi sesuatu padang golf untuk pukulan lebih tepat. Sensor yang disertakan turut boleh digunakan untuk sejumlah pemantauan kesihatan serta kecergasan seperti aktiviti berasaskan larian pengesanan kesihatan wanita, pola tidur dan memantau penghidratan.

Kebolehan pemberitahuan pintar seperti notifikasi emel masuk, teks dan makluman lain daripada telefon pintar yang disambungkan turut disertakan. Untuk makluman, tambatan ke peranti iPhone dan Android boleh dibuat menggunakan sambungan bluetooth. Terdapat tiga variasi yang disediakan seperti Gunmetal dengan Black Band, Polished White dengan White band dan Rose Gold dengan Light Sand Band.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd