Xiaomi kini adalah pengeluar peranti yang bekerjasama dengan Leica, selepas Huawei. Terdapat empat peranti yang menggunakan kamera Leica iaitu kedua-dua Xiaomi 12S dan Xiaomi MIX Fold 2 serta satu peranti dengan lensa binaan bersama Xiaomi, Sony dan Leica pada Xiaomi 12S Ultra.
Siri Xiaomi 12S tidak dijual di Malaysia, sementara MIX Fold 2 sejak generasi pertama sekali adalah eksklusif jualan di China sahaja. Xiaomi sudah mengesahkan yang sensor 1-inci Leica yang mereka bangunkan bersama dengan Sony ini tidak akan terhad pada Xiaomi 12S Ultra sahaja dan turut akan digunakan pada peranti pesaing.
Xiaomi akan hadir dengan lebih banyak peranti yang menggunakan kamera Leica selepas yakin dengan permintaan dan kejayaan siri peranti ini. Terkini, Lei Jun mengesahkan yang pengganti Xiaomi 12S Ultra akan dipasarkan pada peringkat global.
Adakah ini bermakna kita perlu tunggu Xiaomi 13 Ultra, atau siri Xiaomi 13 nanti akan sedia hadir dengan kamera Leica? Sama-sama kita nantikan pelancaran peranti baharu Xiaomi akan datang.