NASA kini menangguhkan salah satu misi yang dinantikan ramai pelancarannya hari ini, iaitu Artemis 1. Sebelum ini, misi Artemis 1 dirancang untuk menghantar kapsul Orion kosong mengelilingi bulan sebelum kembali ke bumi dalam masa 42 hari. Misi ini dijangka menjadi salah satu misi penting sebelum roket membawa angkasawan ke bulan dilancarkan.
Pada awalnya, NASA menjadualkan pelancaran roket ke bulan tersebut hari ini, tetapi menangguhkan ia selepas mendapati terdapat masalah yang dikenal-pasti ketika proses pelancaran – sekaligus membawa kepada penangguhan pelancarannya.

Ia dikatakan berkait dengan masalah suhu melibatkan salah satu enjin pada roket berkenaan – dikenal-pasti kurang dua jam sebelum pelancaran misi tersebut. NASA kini mengatakan mereka sedang menghimpunkan data berkaitannya seberapa yang boleh.
Sebelum ini, tarikh gantian sekiranya berlaku penangguhan adalah pada 2 September dan 5 September. Tetapi ia tidak diketahui sama ada masalah tersebut akan diatasi atau sebaliknya. NASA akan berkongsi tarikh baharu untuk pelancaran misi ini tidak lama lagi.