Cari @ Amanz

Untuk beberapa bulan kebelakangan ini, banyak yang telah diperkatakan mengenai cip pemprosesan akan datang AMD, Zen 4 ataupun AMD Ryzen 7000. Ia akan dibina menggunakan proses 5nm TSMC, dan dijangka tampil dengan prestasi yang jauh lebih hebat berbanding dengan cip-cip pemprosesan Ryzen sebelum ini.

AMD hari ini telah mengesahkan beberapa butiran penting mengenai siri cip pemprosesan tersebut. Ini termasuklah kehadiran empat model pertama yang akan mula dijual di pasaran antarabangsa, termasuklah AMD Ryzen 9 7950X, AMD Ryzen 7900X, AMD Ryzen 7 7700X dan AMD Ryzen 5 7600X.

Model paling berkuasa dalam siri ini, iaitu AMD Ryzen 9 7950X hadir dengan 16 teras fizikal dan 32 bebenang kuasa dengan kelajuan asas 4.5GHz yang boleh dilewahjam ke 5.7GHz dan mempunyai penggunaan kuasa 170W.

Sama seperti penawaran Intel Alder Lake yang dilancarkan pada awal tahun ini, AMD Zen 4 dan papan induk AMD AM5 akan hadir dengan sokongan untuk beberapa teknologi baru, termasuklah penggunaan memori DDR5 dan juga teknologi penghantaran data PCIe 5.0.

Model-model papan induk dibawah siri AM5 termasuklah AMD X670 Extreme, AMD X670, AMD B650E dan AMD B650. Kesemua papan induk ini, kecuali B650 akan hadir untuk sokongan memori DDR5 dan PCIe 5.0 dan kebolehan lewahjam, kecuali untuk AMD B650 yang mungkin akan hadir dengan sokongan PCIe 5.0 terhad kepada model-model tertentu.

Satu teknologi baru yang diperkenalkan oleh AMD khusus untuk papan induk AM5 dan cip pemprosesan AMD Zen 4 ialah AMD EXPO, iaitu ciri A-XMP (AMD Xtreme Memory Profile) yang membolehkan pengguna untuk melewahjam memori dengan lebih mudah.

AMD mengatakan bahawa memori-memori pertama yang akan menyokong teknologi AMD EXPO ini termasuklah ADATA, Corsair, GeIL, G.SKILL, Kingston dan sebagainya.

AMD akan mula menjual cip-cip pemprosesan ini bermula 27 September ini, dengan tanda harga berikut. Pengumuman mengenai tanda harga tempatan akan dibuat lebih dekat menjelang pelancaran CPU-CPU ini.

  • AMD Ryzen 9 7950X – $699
  • AMD Ryzen 9 7900X – $549
  • AMD Ryzen 7 7700X – $399
  • AMD Ryzen 5 7600X – $299
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd