Digi baru-baru ini telah mengumumkan sebuah kerjasama dengan syarikat pembangun permainan realiti terimbuh Niantic untuk menukar semua Digi Store, Digi Store Express dan Digi Store Express Lite untuk menjadi gym permainan Pokemon Go bermula 3 September sehingga 15 Oktober 2022.

Sebanyak 237 kedai-kedai Digi di seluruh Malaysia akan menjadi gym Pokemon Go ini dan akan hadir dengan aktiviti-aktiviti menarik seperti acara raid Deoxys yang memerlukan gabungan orang ramai untuk menewaskannya, ataupun bertarung diantara satu sama lain untuk mendapatkan hak milik kepada gym tersebut.

Dari 3 dan 4 September, Digi akan mengadakan empat acara raid sepanjang hari di kedai-kedai Digi ini, dan selepas itu, satu acara raid akan diadakan setiap hari sehingga 30 September.
Digi turut mengatakan bahawa semua pelawat ke kedai-kedai Digi boleh mendapatkan kod percuma untuk barang-barang dalam permainan bernilai RM10 dengan perbelanjaan RM5 untuk sebarang transaksi menggunakan kiosk pembayaran di mana-mana kedai Digi.

Pelanggan Digi pra- dan pasca-bayar juga boleh mendapatkan pas Unlimited Pokemon Go untuk menerima aksese tanpa had selama 7 hari dengan hanya RM5 dimana-mana sahaja. Pelanggan Digi yang membayar atau memperbaharui plan mereka sepanjang tempoh kempen ini akan menerima baucar RM5 percuma untuk membeli pas Unlimited Pokemon Go ini.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai acara Digi dan Pokemon Go ini, anda boleh melayari laman web promosi Digi x Pokemon Go di pautan ini.