Imej Konsol Mudah Alih Logitech G Gaming Tertiris

Diterbitkan pada Ogos 30, 2022. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Logitech ialah sebuah jenama yang cukup terkenal untuk aksesori-aksesori gaming mereka, tetapi dengan imej-imej terbaru yang tertiris ke arena web, mereka mungkin akan memasuki arena konsol permainan pula dan bertanding dengan nama-nama seperti Nintendo, Valve dan AYANEO.

Evan Blass, peniris teknologi yang cukup terkenal baru-baru ini telah meniriskan beberapa imej yang menunjukkan promosi dan rekaan peranti konsol mudah-alih yang mungkin akan dinamakan Logitech G Gaming Handheld.

Tidak banyak butiran yang diketahui mengenai konsol ini buat masa ini, tetapi ia dilihat hadir dengan rekaan yang memiripi sebuah konsol Nintendo Switch dan Steam Deck dan nampak gayanya akan digerakkan menggunakan sistem operasi Android dimana ia dilihat mempunyai akses kepada Google Play Store.

Kemasukan Logitech kedalam industri ini juga bukanlah sesuatu yang baru kerana Logitech sebelum ini sudahpun mengumumkan kerjasama bersama-sama pembangun permainan Tencent sebelum ini.

Menurut pengumuman sebelum ini, Logitech dan Tencent akan membangunkan sebuah platform untuk penstriman permainan, dan dengan tangkapan layar yang memperlihatkan ikon-ikon Xbox Live, google Stadia, Steam Remote Play dan sebagainya, mungkin Logitech dilihat akan membangunkan satu konsol yang boleh mengakses semua permainan-permainan ini.

Buat masa ini Logitech masih belum memperlihatkan apa-apa maklumat rasmi mengenai konsol ini.

komen


© Amanz / 2022 Kami