Poco telah mengesahkan yang mana dua peranti baharu di bawah siri M bakal dilancarkan pada 5 September ini. Melaluinya, Poco M5 dan Poco M5s bakal diumumkan dan menjelang pelancaran rasmi, rekaan serta sebahagian spesifikasi peranti-peranti ini telah mula didedahkan.
Bermula dengan Poco M5, ia menunjukkan peranti akan mempunyai panel hadapan sejenis rata dan bertakuk kecil. Turut disertakan adalah kewujudan dagu yang agak besar. Seterusnya, tubuh pula sejenis berkotak dengan lengkung pada bahagian sisi. Pada bahagian belakang, kemasan seakan kulit digunakan dengan pilihan warna seperti kuning dan biru. Selain daripada itu, sistem tri-kamera digunakan dan diletakkan dalam susunan yang berbeza. Cip MediaTek Helio G99 turut akan digunakan oleh Poco pada peranti ini.
Beralih kepada Poco M5s pula, skrin berlubang kecil yang menempatkan kamera swafoto tunggal digunakan. Perkongsian maklumat dilihat agak terhad dan masih belum jelas sama ada ia akan mempunyai sokongan kamera yang sama seumpama Poc M5 atau sebaliknya. Dalam pada itu, cip pemprosesan yang digunakan juga masih tidak diketahui tetapi ia didakwa menawarkan cip dengan spesifikasi yang tidak jauh berbeza.
- Sumber – Poco India , Poco Global