Asus ROG Phone 6D Ultimate bakal dilancarkan pada 19 September hadapan dan rekaan peranti kini tertiris sepenuhnya menerusi perkongsian 91Mobiles. Seperti yang didedahkan sebelum ini, perubahan pada cip pemprosesan akan dibuat oleh ASUS, di mana cip MediaTek Dimensity 9000+ akan digunakan. Dalam pada itu, peranti juga dikhabarkan hadir dalam dua variasi berbeza yang terdiri dengan ROG Phone 6D dan ROG Phone 6D Ultimate.
Dari segi rekaan, kedua-duanya kelihatan mirip dengan pendahulunya. Tetapi masih terdapat perubahan kecil yang dibuat pada variasi ROG Phone 6D Ultimate. Melaluinya, panel belakang dengan tiga lensa kamera digunakan dan diletakkan dalam satu bonggol kamera besar. Terdapat satu LED Flash memanjang yang kelihatan dan diletakkan secara bersebelahan kamera. Imej pengolokan ini turut mendedahkan peranti mempunyai kemampuan merakam sehingga 8K dan mempunyai skrin LCD kecil yang boleh memaparkan maklumat mengenai peranti.
Pada bahagian hadapan skrin rata dengan bahagian dahi dan dagu peranti yang agak besar digunakan. Turut disertakan adalah sokongan kamera swafoto tunggal yang diletakkan pada bahagian dahi tadi. Kemudian, kesemua butang laras suara dan kuasa diletakkan pada sisi kanan peranti. Peranti ditawarkan dalam beberapa pilihan warna seperti kelabu dan putih. Seperti biasa, sama-sama nantikan pelancaran rasmi untuk ketahui lebih lanjut mengenai peranti.
- Sumber – 91Mobiles