Tahun lalu hanya Huawei P50 Pocket mampu memberikan persaingan kepada Samsung Galaxy Z Flip3 dalam kategori peranti skrin boleh-lipat mercu di Malaysia. Dengan Z Flip4 telahpun dilancarkan, Huawei kini bersedia untuk melancarkan model kemas kini P50 Pocket. Hari ini rekaan peranti ini telahpun tertiris menerusi laman TENAA.
Peranti masih lagi menggunakan rekaan seperti tahun lalu dengan perubahan paling ketara terletak pada bahagian belakang yang kini menggunakan panel dwi-tona. Dalam gambar di atas tidak kelihatan dengan jelas tetapi peranti mengekalkan penggunaan skrin sekunder bulat yang kecil. Kamera utama juga mengekalkan konfigurasi tri-kamera seperti P50 Pocket asal.
Huawei masih belum bersedia menggunakan skrin sekunder lebih besar seperti yang dilakukan Samsung dan Motorola. Masih tiada maklumat bilakah peranti ini akan dilancarkan tetapi dengan ia sudah memasuki pangkalan data TENAA ia pastinya tidak lama lagi.