Hari ini, ASUS telah memperkenalkan model hibrid komputer riba/tablet terbaru mereka yang dinamakan ASUS Zenbook 17 Fold OLED secara rasmi, dan dengannya, kita dapat memperlihatkan spesifikasi dan juga ciri-ciri khusus komputer riba ini secara sepenuhnya.

Diperkenalkan sebagai Project Precog beberapa tahun yang lalu, ASUS telah mula mengorak langkah mereka sendiri dalam memperkenalkan sebuah peranti produktivit yang tampil dengan rekaan paparan boleh lipat, seperti apa yang diperkenalkan oleh syarikat-syarikat seperti Samsung, Huawei dan Oppo melalui produk-produk mereka sendiri.
Pada saiz penuh, tablet ini hadir dengan paparan OLED bersaiz 17.3 inci dengan resolusi QHD 2560 x 1920 pixel dan boleh memperliihatkan 100 peratus gamut warna DCI-P3 dengan kadar segar semula 60Hz dan hadir dengan sokongan HDR 500.

Apabila dilipat menjadi separuh, tablet ini hadir dengan dua paparan 3:2 bersaiz 12.5 inci dengan resolusi 1920×1280 piksel yang membuatkan peranti ini tampil dengan beberapa mod penggunaan yang menarik.
Tablet ini juga disertakan dengan sebuah papan kekunci ASUS ErgoSense Bluetooth, yang mana apabila digunakan dengan tablet bersaiz penuh, boleh disambungkan ke peranti tersebut secara nirwayar, dan apabila dalam mod lipatan, ia hadir dengan magnet kuat yang membolehkannya dilekapkan pada peranti tersebut, menjadikannya sebuah komputer riba.

Dari segi spesifikasi, komputer riba ini hadir dengan spesifikasi yang cukup berkuasa, menggunakan cip pemprosesan Intel Core i7-1250U, memori sebanyak 16GB dan juga storan dalaman bersaiz 1TB. Tablet ini juga hadir dengan dua palam Thunderbolt 4 yang boleh digunakan untuk mengecas tablet ini dan juga untuk disambungkan kepada paparan sekunder menggunakan kabel USB-C ke DisplayPort.
Engsel pada ASUS Zenbook Fold 17 OLED ini juga telah diuji selama 30 ribu jam untuk memastikan bahawa pengguna tablet ini boleh menggunakannya dalam apa jua cara sekalipun pada bila-bila masa. Ia melepasi piawaian ketenteraan MIL-STD-810H dan dijamin boleh dilipat pada apa jua sudut sekalipun tanpa masalah, dan boleh disimpan dalam apa jua keadaan sekalipun.

ASUS Malaysia mengatakan bahawa tablet hibrid boleh-lipat ASUS Zenbook 17 Fold OLED ini akan ditawarkan di pasaran Malaysia pada suku keempat tahun ini pada harga RM14,999.
- Sumber
- ASUS Malaysia