Cari @ Amanz

Saban hari semakin banyak fon telinga nirwayar di pasaran yang didatangkan dengan sokongan pembatalan hingar aktif secara terbina. Sebagai contoh, Huawei FreeBuds Pro 2 yang baru sahaja diperkenalkan di Malaysia dengan tanda harga RM899. Fon telinga ini membawakan reka bentuk seumpama pendahulu yang terampil cukup ringan dan selesa digunakan. Tetapi penambah baikan turut dilakukan dan salah satu daripadanya adalah sistem audio yang di tala Devialet dan penambahbaikan pada ANC. Ini ialah ulasan kami untuk fon telinga TWS terkini dari Huawei ini.


Spesifikasi & Rekaan:

Huawei FreeBuds Pro 2
JenisFon dalam telinga
Pemandu11 mm Dynamic Driver + Planar Diaphragm
Mikrofon3 mikrofon
Bateri7 jam
30 Jam dengan pod pengecas
Port pengecasUSB-C
Pengecasan nirwayarQi standard (2W)
CODECLDAC/AAC/SBC
Sistem operasi disokongHarmonyOS, Android, iOS, iPadOS, Windows,Mac
BluetoothBluetooth 5.2
Pad KawalanYa
Kemampuan kalis airIP54
Harga Jualan RM899

Untuk generasi baharu ini, tidak banyak perubahan ketara susulan acuan yang sama seumpama seunit FreeBuds Pro masih digunakan. Seperti yang boleh dilihat pada imej di bawah, ia mempunyai tangkai pendek yang dilengkapi sokongan pelbagai sensor seperti sentuhan dan tekanan. Turut disertakan adalah fon sejenis dalam telinga dengan padanan putik yang diperbuat daripada silikon. Terdapat sehingga tiga saiz putik silikon yang disertakan di dalam kotak pembelian tetapi kami cukup selesa dengan putik silikon tersedia.

Seperti yang pernah diperkatakan, fon telinga sebegini mampu menapis bunyi persekitaran dengan lebih efektif disebabkan. Ini disebabkan oleh rekaannya yang seolah-olah terus melekat dengan kemas di telinga. Sangat baik apabila dipakai.

Kebolehannya diserlahkan lagi dengan sistem pembatalan hingar aktif (ANC) dan tiga mikrofon terbina yang dimuatkan pada pemandu audio bersaiz 11mm. Huawei mengiklankan setiap fon telinga mempunyai berat sekitar 6.1 gram sekaligus menjanjikan penggunaan yang selesa. Pada kami sendiri juga, ia sememangnya selesa dan langsung tidak rasa terganggu untuk penggunaan yang panjang.

Binaannya juga sangat baik meskipun keseluruhannya diperbuat daripada plastik. Bukan itu sahaja, ia juga tampil cantik dan premium dengan kemasan berkilat. Ini dipadankan lagi dengan kemasan berwarna Silver Blue. Warnanya di sini boleh berubah di antara biru ke ungu. Kami merasakan kemasannya tampak lebih menonjol berbanding dua pilihan warna lain seperti Ceramic White dan Silver Frost.

Namun begitu, ia sangat mudah memerangkap kotoran dan licin sehingga sukar untuk dikeluarkan dari pod simpanan. Kalau masih ingat, keadaan ini turut berlaku sewaktu kami melakukan Freebuds Pro sebelum ini. Ia juga berlaku mungkin disebabkan oleh sambungan magnet di dalam pod pengecas yang terlalu kuat.

Tetapi kalau kami memandang positif, ia tetap boleh dipuji kerana fon telinga boleh disimpan kemas tanpa mudah terjatuh keluar. Meskipun diterbalikkan ia langsung tidak tertanggal daripada tempat simpanan.

Bercakap lebih lanjut mengenai tempat simpanannya, ia masih mengekalkan bersaiz poket dan ergonomik. Binaan engsel padanya juga terasa kukuh dan boleh dibuka dengan sebelah tangan tanpa masalah. Kemudian terdapatnya penjenamaan Devialet yang secara jelas menunjukkan kerjasama di antara Huawei dan syarikat audio terkemuka tersebut. Ini adalah teknologi audio yang sama digunakan pada beberapa peranti audio Huawei sebelum ini seperti Sound Joy dan Sound X.

Turut disertakan, dua lampu LED terbina pada pod pengecas untuk status tambatan dan tahap pengecasan bateri. Satu lampu boleh dijumpai pada bahagian dalam, sementara satu lagi berada di bahagian bawah. Lampu hijau untuk pengecasan penuh, seterusnya ia akan bertukar kepada merah apabila kehabisan bateri.

Seterusnya, terdapat juga butang khusus pada sisi kanan bertujuan untuk tambatan bluetooth. Lampu LED berwarna putih akan berkelip apabila butang ini ditekan menandakan fon telinga sedia untuk ditambat pada peranti berdekatan. Terdapat juga sambungan port USB-C untuk pengecasan semula dan kabel berwarna putih turut diberikan dalam kotak pembelian. Kemudian, ia juga menggunakan sambungan bluetooth 5.2 dan penarafan kalis air IP54 yang bermaksud baik sahaja digunakan untuk bersenam serta keadaan basah yang sederhana.

Seperti kebanyakan fon telinga bluetooth masa kini, Freebuds Pro 2 turut boleh dikawal secara sesentuh dan aplikasi di telefon pintar. Kawalan sesentuh yang disokong termasuklah dengan cara memegang, mencubit dan meleret pada tunas telinga itu sendiri. Ia juga berfungsi dengan baik pada kebanyakan peranti pintar seperti HarmonyOS, Android, iOS dan Windows.

Meskipun ia boleh berfungsi tanpa sebarang aplikasi tetapi kami amat menyarankan ia digunakan menerusi aplikasi Huawei AI Life. Pengalaman adalah lebih baik dengan kawalan lebih menyeluruh dan ia boleh dimuat turut menerusi Google Play Store, Huawei App Gallery serta App Store. Pengguna peranti iOS turut boleh mengubah tetapan menerusi aplikasi.

Proses tambatan adalah mudah dengan hanya membuka penutup pod simpanan dan menekan butang fizikal pada sisi pod pengecas. Pelbagai tetapan boleh ditemui di dalam aplikasi dan boleh disesuaikan mengikut keselesaan. Ini termasuklah kebolehan menukar sistem kawalan gestur, kawalan tekanan, mod audio, tahap pengecasan bateri, mengaktifkan ANC dan mengakses ciri Tip Fit Test. Turut disertakan adalah sokongan mengesan semula fon telinga yang hilang yang sangat berguna untuk fon telinga yang kecil, licin dan mudah terjatuh seperti Freebuds 2 ini.

Sistem pembatalan aktif pada fon telinga ini didatangkan dengan empat tahap kekuatan ANC yang boleh digunakan dalam keadaan berbeza.

  • Ultra – Mengurangkan bunyi frekuensi rendah dengan ketara di persekitaran sangat bising misalnya sewaktu di dalam kapal terbang atau kereta api.
  • General – Digunakan dalam persekitaran umum seperti kafe untuk pengalaman audio bebas daripada gangguan.
  • Cozy – Digunakan dalam bilik tertutup seperti pejabat bagi mengurangkan gangguan disebabkan oleh pendingin hawa dan bunyi bising papan kekunci komputer.
  • Dynamic – Menyesuaikan tahap ANC pada fon telinga secara automatik berdasarkan persekitaran semasa.

Kualiti Audio

Komen kami secara khusus mengenai kualiti audio, Freebuds Pro 2 mempunyai bass yang tidak cukup berdentum dan mendalam. Ia ada tetapi kurang memuaskan dengan impak bunyi yang tidak begitu mengasyikkan. Bagaimanapun, vokal secara keseluruhan memberi kualiti yang baik dan memuaskan. Ia kedengaran dengan cukup jelas seumpama mendengar suara penyanyi di depan mata. Sungguhpun sedikit halus tetapi masih jelas kedengaran.

Dalam masa sama, bunyi yang terhasil juga kedengaran semula jadi dan tidak seperti diproses menggunakan perisian. Kemudian kebolehan nada tinggi mempunyai butiran yang jelas dan baik. Tetapi masih tidak mencukupi untuk mencapai tahap yang sepatutnya. Pementasan audio pula baik-baik sahaja dengan kualiti yang sederhana. Sejujurnya, ia kedengaran rata, ringkas dan tidak begitu menyeronokkan. Cukup baik untuk lagu berentak perlahan tetapi tidak memuaskan untuk jenis bergenre pop.

Beralih pada kemampuan sistem ANC pula, penggunaan pada tahap Cozy sudah cukup bagus tetapi ia masih menghasilkan bunyi berdengung. Keadaan yang sama turut berlaku pada tetapan General.

Bagaimanapun, tetapan pada tahap Ultra sememangnya berfungsi dengan baik sekali khususnya sewaktu digunakan di dalam kapal terbang. Ia mengurangkan hingar sepenuhnya di mana bunyi enjin kapal terbang juga menjadi perlahan. Bagaimanapun, usah risau ia tidaklah sehingga mengakibatkan ‘pekak’ pada telinga. Sungguhpun begitu, berbeza pula keadaannya sewaktu menaiki kereta api kerana bunyi bising di sekeliling masih boleh kedengaran.


Ketahanan Bateri

Freebuds Pro 2 disertakan bateri 580mAh. Setiap fon telinga diiklankan boleh bertahan selama 7 jam dan sehingga 30 jam dengan bantuan pod pengecas sekiranya ANC tidak diaktifkan. Jika sebaliknya, ia berkurang menjadi 4 jam dan 18 jam dengan pod pengecas. Ia adalah berasas kerana ujian kami mendapati fon telinga mampu bertahan mencapai 4 jam dengan kebolehan memainkan audio pada kelantangan agak kuat dan fungsi ANC yang sentiasa diaktifkan.

Kami turut menyedari yang mana fon telinga sebelah kiri sering kali kehabisan bateri lebih awal berbanding sebelah kanan. Proses pengecasan semula boleh dibuat dalam tempoh yang pantas iaitu sekitar 1 jam menggunakan pengecas berkepala USB-C.


Dalam Kotak

Berikut ialah apa yang diterima dengan setiap pembelian peranti di Malaysia.

  • 1x Huawei Freebuds Pro 2.
  • 1x Kabel pengecas USB-A ke USB-C.
  • 3x Pasang putik silikon.
  • 1x Manual.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, Freebuds Pro 2 mampu memberikan kualiti audio yang baik dan serba jelas. Ia juga menawarkan sokongan ANC yang hebat terutamanya sewaktu Ultra Mode diaktifkan. Dalam erti kata mudah, ia adalah fon telinga dengan ANC yang baik bagi mereka yang tidak mahu berbelanja lebih. Kerjasama dengan Devialet menyerlahkan lagi kemampuan pada fon telinga ini.

Dalam pada itu, ia juga pilihan yang baik buat pengguna yang mementingkan nilai kosmetik kerana tubuhnya yang baik dan premium. Pengalaman juga ditambahbaik dengan ekosistem Huawei yang menawarkan penggunaan lebih menyeluruh. Bagi yang berminat, ia dijual pada harga RM899 untuk seunit.


Pro

  • Pengalaman audio memuaskan.
  • Rekaan pod simpanan yang kecil dan ergonomik.
  • Ketahanan bateri memadai.
  • Kalis air IP54.
  • Sokongan LDAC.
  • Mod ANC yang baik.

Kontra

  • Bass tidak cukup mantap.
  • Harga agak tinggi.
  • Permukaan masih licin sehingga sukar dibawa keluar dari pod simpanan.
© 2024 Amanz Media Sdn Bhd