Carian
Facebook, Instagram Dan WhatsApp Versi Berbayar Sedang Dibangunkan
September 1, 2022 Effi Saharudin

Sejak dari hari pelancaran sehingga sekarang Facebook dan Instagram boleh digunakan secara percuma. Tetapi kita kini tahu lazimnya percuma hadir dengan kos tersorok dan dalam kes dua platform ini data peribadi diperdagangkan untuk pengiklanan. WhatsApp dahulunya berbayar sebelum juga ditawarkan “percuma” sejak 2016.

Menurut laporan The Verge, Meta yang memegang ketiga-tiga platform media sosial utama ini sedang membangunkan perkhidmatan berbayar selepas pasukan New Monetization Experiences ditubuhkan dalam syarikat. Pasukan akan mencari cara untuk menawarkan ciri menarik dalam produk Meta yang bakal menarik minat pengguna untuk melakukan langganan.

Tindakan menawarkan langganan berbayar Facebook, Instagram dan WhatsApp akan dilakukan kerana pendapatan pengiklanan Meta terjejas teruk sejak pengenalan ciri ATT oleh Apple. Google turut akan memperkenalkan ciri yang sama di Android dalam masa terdekat maka Meta perlu mencari sumber pendapatan baharu sebelum terlambat.

Platform media sosial lain seperti Snap, Telegram dan Twitter telahpun menawarkan perkhidmatan langganan berbayar kepada pengguna mereka. Jelas di sini era perkhidmatan percuma akan berakhir digantikan dengan era semuanya berbayar demi privasi data peribadi.

Komen