Kerajaan Jepun Akan Menamatkan Keperluan Menghantar Dokumen Dalam CD Dan Cakera Liut
Effi Saharudin
Jepun pada dekad 80an dilihat sebagai negara yang jauh lebih maju berbanding Malaysia. Kerana kecanggihan Jepun, banyak karya futuristik dan cyberpunk menggunakan Jepun sebagai asas. Tetapi selepas empat dekad, Jepun seakan statik di dekad 90an dan kita lebih kehadapan dalam penggunaan teknologi digital.
Antara perkara aneh di Jepun ialah sebarang urusan kerajaan memerlukan orang ramai menyerahkan dokumen dalam cakera padat atau cakera liut. Penyerahan dokumen dalam bentuk digital masih belum disokong di peringkat nasional.

Oleh sebab itu Menteri Digital Jepun, Taro Kono berkata kerajaan akan mengubah semula keperluan menghantar dokumen menggunakan medium simpanan yang sudah hampir pupus di Malaysia ini. Terdapat 1900 undang-undang dan garis panduan di Jepun yang masih memerlukan sistem data fizikal ini untuk urusan rasmi kerajaan di bawah pelan digitalisasi negara.
Sebelum ini Jepun juga sudah memulakan langkah untuk tidak lagi menggunakan mesin faks untuk urusan rasmi kerajaan. Jika anda merasakan sistem yang digunakan di Malaysia seakan ketinggalan, Jepun sebenarnya lebih tragis dengan perubahan hanya dilakukan sekarang.
[sumber] Sumber – Bloomberg [/sumber]