Lenovo hari ini memperkenalkan generasi tablet boleh-lipat mereka, iaitu Lenovo ThinkPad X1 Fold generasi kedua hari ini dengan sejumlah penambahbaikan dari segi komponen dan juga rekaan kepada peranti ini.

Lenovo ThinkPad X1 Fold terbaru ini hadir dengan rekaan serba baru dimana pihak Lenovo telah mengambil input daripada pemilik model pertamanya untuk memastikan penawaran terbaru mereka ini lebih memenuhi kehendak pengguna mereka.
Tablet boleh-lipat tersebut kini hadir dengan paparan skrin OLED bersaiz 16.3 inci dan hadir dengan rangka peranti 25 peratus lebih nipis dari sebelum ini yang diperbuat daripada aluminum, dan bahagian belakang yang diperbuat daripada 100 peratus bahan kitar semula.

Paparan skrin tablet ini hadir dengan nisbah 4:3 dan mempunyai nilai kecerahan 600nit dan menyokong teknologi paparan dan audio Dolby Vision dan Atmos untuk pengalaman tontonan video yang terbaik untuk media yang disokong.
Tablet ini dikuasakan oleh cip pemprosesan Intel Core i7 Alder Lake vPro dengan pilihan memori DDR5 sebanyak 32GB dan juga storan SSD NVMe PCIe 4.0 sebesar 1TB dan menggerakkan sistem operasi Microsoft Windows 11.

Dari segi I/O, tablet ini hadir dengan dua palam Thunderbolt 4, satu palam USB 3.2 Type-C dan slot pilihan untuk kad SIM dan sokongan rangkaian 5G untuk model-model terpilih.
ThinkPad X1 Fold generasi kedua ini juga hadir dengan papan kekunci Bluetooth yang dikemaskini rekaannya. Ia tampil dengan rekaan papan kekunci ThinkPad yang cukup terkenal yang disambungkan ke peranti menggunakan sambungan Bluetooth. Ini akan menjadikan ThinkPad X1 Fold ini sebagai sebuah komputer riba dengan saiz 12 inci.

Papan kekunci ini juga bahagian bawah paparan tablet ini untuk menjadikannya sebuah komputer riba ThinkPad yang cukup dikenali. Jika anda seorang artis, apabila tablet ini digunakan dalam keadaan berlipat yang menegak, bahagian bawah paparan ini boleh digunakan sebagai permukaan melukis kerana ia menyokong stylus menggunakan protokol Wacom.

Engsel ThinkPad X1 Fold ini juga telah diuji dengan agresif, dimana peranti ini juga telah menerima piawaian MIL-STD-810H yang memastikan rangka, engsel dan paparan peranti ini boleh digunakan untuk jangkamasa yang lama.
Lenovo ThinkPad X1 Fold ini akan ditawarkan di pasaran-pasaran tertentu bermula November ini pada harga permulaan $2499.