Cari @ Amanz

Jika anda seorang pereka industri yang memerlukan komputer riba berkuasa tinggi tetapi juga mahukan sebuah peranti dengan rekaan serba minimalis, Lenovo Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa komputer riba Lenovo kelas industrial paling berkuasa mereka akan mula memasuki pasaran tempatan tidak lama lagi.

Lenovo ThinkPad P16 ialah komputer riba kelas industrial tersebut, menggabungkan rekaan rangka aluminum sepenuhnya dengan paparan skrin IPS bersaiz 16 inci dengan resolusi permulaan 1920×1200 dengan nisbah paparan 16:10 ataupun paparan OLED sesentuh dengan resolusi 3840 x 2400 jika itu yang anda inginkan.

Ia dikuasakan oleh pilihan cip pemprosesan sehinggalah ke Intel Alder Lake HX (Intel Core i9-12950HX), memori DDR5 sebanyak 32GB dan juga storan SSD NVMe PCIe 4.0 sehingga 8TB. Dari segi keperluan grafik pula, komputer riba ini dimuatkan dengan pilihan kad grafik NVIDIA RTX A1000 sehinggalah NVIDIA RTX A5500 untuk kebolehan mengolah objek 3D yang berkuasa.

Dari segi I/O, komputer riba ini dimuatkan dengan dua palam Thunderbolt 4, satu palam USB 3.2 Type-C, dua palam USB 3.2 Type-A, satu palam HDMI 2.1, satu pembaca kad SD dan palam audio 3.5mm.

Sama seperti kebanyakan pembuat peranti kebelakangan ini, Lenovo juga dilihat menggunakan bahan kitar semula seperti Post-Consumer Recyclables khususnya didalam bahagian pembesar suara dan juga rangka pek bateri didalam komputer riba ini.

Dalam pada itu, ThinkPad P16 ini juga hadir dengan sokongan untuk rangkaian WiFi6E, Bluetooth 5.2 dan juga pilihan untuk NFC sekiranya diperlukan. Lenovo Malaysia mengatakan bahawa komputer riba ini sudahpun mula dibuka untuk pra-tempah pada harga permulaan RM7910.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd