Cari @ Amanz

Tablet keluaran Lenovo turut dikemaskini dengan beberapa penawaran baharu. Melaluinya, Lenovo Tab P11 Pro dan Lenovo Tab P11 generasi kedua telah diumumkan secara rasmi. Reka bentuk seumpama generasi terdahulu masih dikekalkan oleh Lenovo pada kedua-dua tablet. Tetapi beberapa penambahbaikan turut disertakan.

Bermula dengan Lenovo Tab P11 Pro, ia dilengkapi 11.2-inci OLED beresolusi 2.5K (2560 x 1536 piksel) dengan kadar segar semula 120Hz. Turut disertakan adalah sokongan gamut warna DCI-P3 100%, pensijilan HDR10+, Dolby Vision dan kecerahan puncak sehingga 600 nits. Ia kemudiannya dipadankan dengan cip MediaTek Kompanio 1300T, memori sehingga 8GB RAM, storan mencapai 256GB dan bateri 8,000mAh. Lain-lain spesifikasi termasuklah sokongan empat pembesar suara dengan Dolby Atmos, menjalankan Android 12, Wi-Fi 6 dan USB Type-C 3.0.

Lenovo Tab P11 pula dilengkapi skrin 11.5-inci LCD beresolusi 2K dan kadar segar semula 120Hz. Ia turut menyokong ciri tambahan seperti sokongan gamut warna DCI-P3 100% dan kecerahan puncak sehingga 400 nits. Cip MediaTek Helio G99 turut digunakan dengan padanan memori sehingga 6GB RAM, storan dalaman mencapai 128GB dan bateri 7,700mAh. Turut disertakan adalah sokongan Android 12L, Wi-Fi 5 serta 6E, sambungan USB Type-C 2.0, empat pembesar suara dengan Dolby Atmos dan bicu audio 3.5mm.

Kedua-dua tablet juga menyokong beberapa aksesori tambahan seperti Lenovo Precision Pen 2 (2023), Lenovo Smart Charging Station 2 dan Lenovo Folio Case yang dijual secara berasingan. Untuk harga, Lenovo Tab P11 Pro dijual bermula €499 (~RM2,244), sementara itu Lenovo Tab P11 pula berharga bermula €299 (~RM1,345). Ketersediaan adalah pada September 2022.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd