Cari @ Amanz

LG mungkin lebih dikenali sebagai jenama paparan skrin yang termasuklah paparan komputer dan juga televisyen pintar, tetapi mereka juga adalah sebuah syarikat elektronik yang membangunkan pelbagai jenis perkakasan rumah yang digunakan di seluruh dunia.

Jika anda seorang pengumpul kasut sneaker kelas bangsawan, anda pastinya suka untuk mengetahui bahawa LG telah membangunkan sebuah produk baru yang dinamakan LG Styler ShoeCase dan ShoeCare di acara IFA yang sedang diadakan sekarang.

Bermula dengan kotak penyimpanan LG Styler ShoeCase, ia merupakan sebuah kotak penyimpanan dengan panel lutsinar yang hadir dengan sistem membasmi kelembapan dan juga pencahayaan UV yang memastikan bahawa warna-warna pada kasut-kasut anda tidak pudar.

Ia juga mempunyai piring berpusing yang boleh diaktifkan untuk menayang rekaan cantik kasut-kasut anda khususnya anda jenis yang suka menayangkannya untuk tatapan pelawat.

Dalam pada itu, LG Styler ShoeCare pula menggunakan teknologi TrueSteam yang dibangunkan oleh LG untuk memastikan kasut anda sentiasa bersih dan segar apabila anda mahu memakainya. Ia juga hadir dengan penuras Zeo-Dry yang memastikan ia sentiasa kering dan tidak berbau kusam.

Pembersih kasut LG Styler ShoeCare ini juga sesuai digunakan untuk pelbagai jenis kasut seperti kulit, sued, nilon dan sebagainya dan mempunyai 10 mod berbeza yang boleh digunakan bergantung kepada jenis dan fabrik kasut tersebut. ShoeCare boleh membersihkan 4 pasang kasut dalam masa 37 minit dan beroperasi secara senyap.

Buat masa ini ia tidak diketahui lagi bilakah LG akan mula menjual LG Styler ShoeCase dan ShoeCare, mahupun tanda harga jualannya.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd