Aksesori audio Jabra telah dikemaskini dengan penawaran baharu menerusi pengenalan Elite 5. Ia merupakan set fon telinga nirwayar yang dilengkapi dengan sistem pembatalan hingar hibrid (Hybrid Active Noise Cancelling) terbina. Ini bermakna ia mempunyai mikrofon di dalam dan di luar yang mampu mengesan seterusnya membatalkan bunyi hingar di persekitaran.


Rekaan pula masih mengekalkan elemen yang sama seumpama beberapa variasi fon telinga Jabra yang sebelum ini. Seterusnya, ia mempunyai pemandu audio sebesar 6mm yang lengkap dengan enam mikrofon untuk panggilan lebih jelas. Turut disertakan adalah sokongan codec aptX, AAC dan SBC untuk bunyi latensi rendah yang bagus. Bukan itu sahaja, fon telingan turut dilengkapi bluetooth 5.1, penarafan IP55 dan sokongan Google Fast Pair.


Bateri yang disertakan pula menawarkan ketahanan sehingga 28 jam dengan bantuan pod pengecas. Tidak ketinggalan, sokongan unutk pengecasan nirwayar Qi turut disertakan. Untuk harga, Jabra Elite 5 dijual pada $149 (~RM668) dalam kemasan berwarna Titanium Black dan Gold Beige. Buat masa ini belum ada sebarang maklumat lanjut mengenai ketersediaan untuk pasaran tempatan.