Cari @ Amanz

Poco telah menjadualkan sebuah acara pelancaran produk pada 5 September ini. Melaluinya mereka bakal mengemaskini peranti pintar di bawah siri M denga dua model baharu iaitu Poco M5 dan Poco M5s. Adalah menjadi kebiasaan apabila menjelang pelancaran rasmi sedikit demi sedikit maklumat mengenai peranti didedahkan.

Sama seperti Poco M5s yang kini disahkan tiba dengan paparan sejenis AMOLED. Ia akan dimuatkan dalam tubuh yang nipis dan tidak berkotak seumpama Poco M5. Turut disertakan adalah lubang kecil pada skrin hadapan yang ditempatkan di bahagian tengah serta kewujudan dagu agak tebal. Pengimbas cap jari sisi turut disokong oleh peranti kelak yang boleh ditemui pada sisi kanan. Tidak ketinggalan, ia turut memuatkan sistem kuad-kamera di belakang dengan sensor utama 64MP.

Dalam perkembangan berbeza, Poco M5 turut disahkan tiba dengan skrin 90Hz. Ia akan dipadankan dengan tubuh peranti yang berkotak, skrin bertakuk kecil dan dijana dengan MediaTek Helio G99. Seperti biasa, sama-sama nantikan pelancaran rasmi kelak untuk ketahui lebih lanjut mengenai kedua-dua peranti baharu Poco ini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd