Carian
Lima Hospital Dipilih Menjadi Hab Perubatan NTIS Menguji Teknologi Perubatan Terkini
September 3, 2022 Effi Saharudin

Hab Teknologi Kesihatan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) dilancarkan semalam untuk menguji pelbagai teknologi perubatan terkini di Malaysia. Di bawah hab kesihatan NTIS ini, lima hospital telah dipilih untuk menguji serta mempelopori penggunaan teknologi 5G, robotik, dan internet kebendaan.

Lima hospital yang dipilih adalah Hospital Putrajaya, Institut Kanser Negara, Hospital Tunku Azizah, Hospital Bera dan Hospital Rembau. Penubuhan Hab Teknologi Kesihatan NTIS akan mempercepatkan penciptaan, penerimaan dan pengkomersialan teknologi dan inovasi tempatan selain memberikan faedah kepada pengguna untuk mendapatkan penjagaan kesihatan yang berkualiti dengan kos yang berpatutan.

Hab Teknologi Kesihatan NTIS ialah sebuah program hasil kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui NTIS dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM). Sebelum ini di bawah NTIS program mempercepatkan ujian penggunaan dron dan kereta swapandu turut telah diumumkan.

Komen