Nokia telah hadir dengan beberapa komputer riba baharu menerusi pengenalan PureBook Fold dan PureBook Lite. Ia diiklankan sebagai rangkaian komputer riba yang memfokuskan kepada produktiviti dan pembelajaran dalam memenuhi keperluan generasi muda, khususnya para pelajar.

Nokia PureBook Fold dan Nokia PureBook Lite berkongsi spesifikasi yang sama. Perbezaa ketara terletak pada aspek rekaan pada PureBook Fold yang menawarkan beberapa penggunaan – sama ada dalam mod tablet mahupun komputer riba. Terdapat tiga pilihan warna yang tersedia untuk kedua-duanya seperti Red, Blue dan Black.
Untuk spesifikasi, skrin sebesar 14.1-inci IPS FHD+ (1920×1080 piksel) digunakan dengan kadar segar semula standard. Ia kemudiannya dikuasakan dengan CPU Intel Pentium Silver N6000 dengan memori 8 GB LPDDR4x dan storan 128 GB eMMC. Bateri pula sebesar 38 Wh dengan sistem pengecasan 45W.

Sebuah kamera 1-Megapixel turut disertakan bersama beberapa ciri lain seperti menjalankan Windows 11, sambungan WiFi 5 dan bluetooth 5.0. Pilihan I/O pula terdiri dengan 2 x USB-C 3.2, 1 x USB-A 3.0 dan 1 x bicu audio. Maklumat mengenai harga jualan untuk peranti masih belum diketahui setakat ini.