Cari @ Amanz

Samsung ialah pengeluar telefon pintar terbesar dunia pada tahun 2021 diikuti oleh Apple dan Xiaomi. Mereka menjual ratusan juta peranti tetapi majoritinya adalah peranti dari kelas pertengahan siri Galaxy A. Menurut laporan terkini Counterpoint Research, dalam kelas peranti mercu sebaliknya berlaku dengan Apple jauh di hadapan.

Pada Q2 2022, Apple memegang 57% pasaran peranti mercu premium diikuti oleh Samsung (19%), Vivo (4%), Oppo (4%), Xiaomi (4%) dan Huawei (3%). Pencapaian yang menarik bagi Vivo yang berjaya memintas Oppo walaupun ia adalah syarikat yang lebih muda.

Peranti mercu premium adalah yang dijual pada harga melebihi $400 menurut Counterpoint. Pada suku yang lalu, harga purata jualan peranti mercu premium ialah $780 (~RM3500) sebuah – peningkatan 8% berbanding suku yang sama tahun 2021. Lebih menarik ialah dalam kategori peranti dijual pada harga melebihi $1000 Apple memegang 78% pasaran.

Walaupun jualan peranti turun pada suku ini, impaknya hanyalah sekitar 8% sahaja berbanding 12% pada kategori peranti lain. Nampaknya golongan yang lebih berada tidak begitu terkesan dengan peningkatan kos sara hidup dan ekonomi yang kurang menentu.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd