Bulan September ini bakal dibanjiri dengan pelbagai pilihan peranti pintar baharu daripada para pengeluar. Ini termasuklah Asus yang bakal memperkenalkan ROG Phone 6D pada 19 September 2022. Peranti dikhabarkan mempunyai rekaan seumpama model terdahulu tetapi perubahan ketara dibuat pada cip pemprosesan menerusi penggunaan MediaTek Dimensity 9000+.
Terdapat dua variasi berbeza yang dijangka tiba kelak dan salah satu daripadanya adalah ROG Phone 6D Ultimate. Spesifikasi peranti kini turut tertiris menerusi salah satu perkongsian oleh Digital Chat Station di Weibo. Melaluinya, peranti dikhabarkan lengkap dengan skrin AMOLED sebesar 6.78-inci dengan kadar segar semula tinggi sekurang-kurangnya mencapai 165Hz.
Turut disertakan adalah kamera utama yang menggunakan sensor Sony IMX766 dan bateri pula berkapasiti 6,000mAh dengan sistem pengecasan pantas 65W. Dalam masa sama, Asus juga dijangka menyertakan sistem penyejukan serba baharu pada peranti bagi membolehkan proses pengaliran haba yang lebih baik.
Buat masa ini, maklumat yang dikongsi masih diperingkat ura-ura dan Asus masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung dakwaan ini. Sama-sama kita nantikan perkembangan lebih lanjut dari semasa ke semasa.